AGENDAJENAYAH

Bomba rekod 232 kebakaran terbuka di Kelantan dalam tempoh lapan hari

KOTA BHARU, 14 APRIL: Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan merekodkan 232 kes kebakaran terbuka dalam tempoh lapan hari sejak 4 April lalu berikutan cuaca panas atau pembakaran terbuka.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kelantan Mohd Wildan Azhari berkata 38 lokasi panas kebakaran terbuka dikenal pasti melibatkan 12 lokasi di Pasir Puteh, lapan di Bachok dan masing-masing enam lokasi di Pasir Mas, Kota Bharu serta Gua Musang.

Beliau berkata secara keseluruhan bomba menerima laporan 752 kes kebakaran terbuka dalam tempoh empat bulan bermula Januari lalu, jumlah yang agak tinggi memandangkan sepanjang tahun lepas 814 kes kebakaran terbuka dicatatkan di Kelantan.

“Bomba menerima panggilan kecemasan hampir setiap hari berhubung kebakaran terbuka,” katanya hari ini.

Bagi mengurangkan masalah kebakaran terbuka, beliau berkata pihaknya sering menjalankan rondaan serta memberi khidmat nasihat kepada orang awam mengenai bahaya kebakaran terbuka, selain turut mengawal cuti anggota bagi tujuan penugasan.

– BERNAMA


Pengarang :