Polis mengetatkan kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berikutan kes tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1 pada 14 April 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Isteri pengawal peribadi ditembak masih terkejut, suami kritikal, ditidurkan

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Isteri pengawal peribadi yang parah ditembak di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, pagi tadi masih terkejut dengan kejadian itu.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Siti Noraida, 28, itu berkata selepas menerima maklumat berkenaan kejadian sekitar 2 pagi itu, beliau terus bergegas ke Hospital Cyberjaya untuk melihat suaminya.

“Pihak hospital memaklumkan keadaan suami saya ketika ini kritikal dan perlu ditidurkan. Saya juga diberitahu ada pendarahan teruk dan waktu tiba di hospital dia sesak nafas, tapi tiada organ penting yang kena (tembakan),” katanya.

Suri rumah sepenuh masa itu berkata suaminya ditugaskan sebagai pengawal peribadi secara sambilan sebelum Ramadan lalu.

Terdahulu Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan berlaku kejadian tembakan di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 pagi tadi melibatkan seorang suspek lelaki yang telah dikenal pasti identitinya dan dipercayai telah melarikan diri ke utara.

Beliau berkata kejadian adalah bersifat peribadi dan tidak melibatkan sebarang aktiviti keganasan atau mana-mana kumpulan.

– BERNAMA


Pengarang :