AGENDAJENAYAH

Remaja lelaki warga asing menyamar pegawai polis ditahan

BALIK PULAU, 30 APRIL: Polis menahan remaja lelaki warga asing yang disyaki menyamar pegawai polis bagi memeras ugut dan menyamun pekerja asing.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya DSP Jafri Md Zain berkata remaja berusia 16 tahun itu ditahan pada 12.25 tengah malam tadi di depan sebuah premis mencuci kenderaan di Gelugor dekat sini dan polis turut merampas antaranya pisau, motosikal jenis Honda dan duit syiling berjumlah RM35.

Beliau berkata polis menerima laporan daripada seorang pekerja warga Myanmar baru-baru ini yang didatangi remaja terbabit dan mendakwa sebagai pegawai polis sebelum meminta pasport milik mangsa dalam kejadian di Bayan Baru.

“Suspek turut bertindak menumbuk muka lelaki itu sebelum mangsa melarikan diri selepas ternampak pisau dalam bakul motosikal ditunggang remaja berkenaan kerana bimbang dicederakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya hasil siasatan mendapati remaja terbabit dipercayai terlibat sekurang-kurangnya tiga kes menyamar sebagai polis dan memeras ugut mangsa membabitkan dua kes di daerah Barat Daya dan satu kes kes di daerah Timur Laut.

Jafri berkata remaja yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu direman enam hari hingga 5 Mei ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 394 dan 170 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :