Rompin mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 3 petang, 30 April 2024. Foto laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS)
AGENDANASIONAL

Rompin catat IPU tidak sihat, ladang tanah gambut terbakar

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Rompin mencatatkan status kualiti udara tidak sihat susulan kebakaran tanah gambut di sebuah ladang berhampiran Kampung Kerpal, Muadzam Shah, Pahang.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam satu kenyataan berkata setakat 11 pagi tadi, daerah berkenaan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap 166.

“Susulan bacaan IPU mencecah 151-200 melebihi 24 jam di Rompin, Pahang, JAS telah mengeluarkan Nota Pemberitahuan Amaran Awal 2 kepada Pusat Kawalan Bencana Negara untuk hebahan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana ke peringkat negeri serta daerah bagi mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah/Negeri dan mengambil tindak balas berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” katanya.

Wan Abdul Latiff berkata pihaknya juga telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan serta aktiviti pemantauan melalui darat dan udara dengan menggunakan dron serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

“Koordinasi di antara agensi berkaitan dan pemilik ladang bagi merancang kerja pemadaman serta kawalan kebakaran turut diadakan,” menurut JAS.

Beliau menasihatkan semua pemilik tanah memantau rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar serta mengambil langkah mencegah pencerobohan pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau tidak sengaja.

Menurut beliau, di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, selain kompaun maksimum RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

– BERNAMA


Pengarang :