Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama mengadakan mesyuarat meja bulat bersama lebih 50 pemimpin industri dan perniagaan pelbagai sektor dari seluruh dunia di Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh pada 28 April 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Syarikat TotalEnergies setuju tingkat pelaburan, teroka bidang baharu di Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: TotalEnergies, syarikat pembekal tenaga global yang berpangkalan di Perancis menyatakan komitmen dan bersetuju untuk meningkatkan pelaburan dalam sektor huluan minyak dan gas di Malaysia.

Selain itu, syarikat berkenaan juga akan terus meneroka peluang dalam bidang penyimpanan karbon di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di platform X, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau memenuhi jemputan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies, Patrick Pouyanne untuk bertemu di sela Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF).

“TotalEnergies telah bertapak sejak 1984 di Malaysia dan memiliki pelaburan dalam pelbagai sektor di Malaysia, antaranya tenaga boleh baharu, elektrik, minyak dan penyimpanan karbon.

“Semoga pelaburan ini dapat direalisasikan sesegera mungkin dan mencetus limpahan kemakmuran buat rakyat Malaysia, khususnya dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perkongsian pengetahuan,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

Perdana Menteri kini berada di Riyadh, Arab Saudi dalam rangka lawatan tiga hari bagi menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF).

Baru-baru ini, TotalEnergies menandatangani perjanjian dengan Sapura Upstream Assets Sdn Bhd (SUA) untuk mengambil alih 50 peratus kepentingannya dalam pengeluar dan pengendali gas bebas di Malaysia SapuraOMV Upstream Sdn (SapuraOMV) dengan nilai US$530 juta, tertakluk kepada pelarasan yang dimuktamadkan.

Aset utama SapuraOMV adalah 40 peratus kepentingan kendaliannya dalam blok SK408 dan 30 peratus kepentingan kendalian dalam blok SK310, kedua-duanya terletak di luar pesisir Sarawak.

SapuraOMV juga memegang kepentingan dalam lesen penerokaan di Malaysia, Australia, New Zealand dan Mexico, serta penemuan dibuat pada 2023 di blok 30.

TotalEnergies memiliki kepentingan dalam dua kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) dalam fasa penerokaan dan menandatangani perjanjian pada Jun 2023 dengan Petronas dan Mitsui untuk membangunkan projek penyimpanan karbon di Asia Tenggara dan menilai beberapa tapak penyimpanan CO2 di Malay Basin.

Sementara itu, Anwar berkata beliau dan delegasi Malaysia turut mengadakan mesyuarat meja bulat bersama lebih 50 pemimpin industri dan perniagaan pelbagai sektor dari seluruh pelusuk dunia di Mesyuarat Khas WEF.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Antara syarikat yang menyertai sesi ini termasuklah Samsung, Chevron, BrainBox AI, Cisco Systems, http://OmniBot.ai, TotalEnergies, Lulu Group International, Deutsche Bank dan Saudi Industrial Development Fund.

“Ruang ini saya gunakan untuk memaparkan keutamaan, inisiatif strategik serta kadar pertumbuhan ekonomi dan fiskal negara, selain kewujudan peluang-peluang perdagangan dan pelaburan.

“Sesi ini penting untuk saya dan rakan-rakan meyakinkan pemimpin industri untuk melabur di Malaysia, sekali gus melonjak pertumbuhan ekonomi negara serta mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi buat rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, ramai pemimpin industri dan perniagaan yang hadir menunjukkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik negara dengan menyatakan minat untuk melabur di Malaysia dalam pelbagai bidang.

“Saya memberi jaminan urusan pelaburan mereka akan dipermudah dan disegerakan, terutama selepas kerajaan berjaya menangani isu kerenah birokrasi yang berlanjutan sejak sekian lama sebelum ini.

“Saya percaya lebih ramai pelabur bernilai tinggi akan memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan, mengikut jejak langkah syarikat-syarikat gergasi seperti Tesla, AWS, Infineon dan NVIDIA,” kata beliau.

— BERNAMA

 


Pengarang :