AGENSISELANGOR

Lapor paip bocor, pecah di aplikasi Air Selangor, menangi pin tambah nilai Touch n Go

SHAH ALAM, 29 APRIL: Pengguna yang melaporkan insiden paip bocor atau pecah menerusi aplikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berpeluang memenangi pin tambah nilai Touch n Go bernilai RM5.

Air Selangor memaklumkan 2,000 laporan terawal yang telah disahkan oleh pihaknya setiap bulan berpeluang menjadi pemenang.

“Dari 1 Januari hingga 31 Disember laporkan sebarang kejadian paip bocor. Hanya klik pada butang laporan kebocoran di aplikasi Air Selangor,” katanya di Facebook.

Agensi itu menjelaskan kejadian paip bocor adalah apabila terdapat retakan atau lubang kecil pada paip menyebabkan air keluar secara perlahan dalam jumlah sedikit.

“Manakala paip pecah apabila terdapat retakan besar pada paip lalu pecah menyebabkan air keluar secara laju dalam jumlah yang banyak,” katanya.

Katanya kempen laporan kebocoran air itu bagi memastikan penggunan bersama-sama memainkan peranan dalam memulihara bekalan air terawat yang berharga ini.

Menurutnya pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang kempen laporan Kebocoran Air Selangor di pautan https://www.airselangor.com/reportleakscampaign.


Pengarang :