Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao (tengah) beramah mesra bersama jentera perpaduan ketika hadir di Bilik Gerakan Kg Pasir Kerling, Kuala Kubu Bharu pada 02 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Calon fokus 40 skim kebajikan, pastikan penduduk layak dapat bantuan

HULU SELANGOR, 2 MEI: Program kebajikan yang terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang (ISP) akan diberi perhatian bagi memastikan penduduk Kuala Kubu Bharu (KKB) mendapat manfaat.

Calon Kerajaan Perpaduan berkata jika memenangi pilihan raya kecil (PRK), beliau akan memastikan tiada penduduk layak di KKB tercicir menerima pelbagai bantuan yang disediakan negeri.

“Banyak inisiatif dilaksanakan Dato’ Menteri Besar jadi kita fokus kepada PRK (untuk menang). Selain memastikan masyarakat mendapat manfaat ISP, saya juga akan membantu  peningkatan ekonomi.

“Kita juga mahu jana ekonomi berlandaskan pelancongan. Jadi pilih dan undi yang tepat dan sempurna. Ini peluang keemasan yang perlu kita ambil,” kata Pang Sock Tao.

Terdahulu Sock Tao,31, ditemani pengerusi DAP Lim Guan Eng beramah mesra dengan pelanggan dan peniaga di Restoran Rasa 22, dekat sini.

PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) KKB diadakan susulan kematian penyandang tiga penggal Lee Kee Hiong akibat barah pada 21 Mac lalu.

Menyaksikan pertandingan empat penjuru, Sock Tao dicabar Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainudin Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

DUN tersebut memiliki 40,226 pengundi terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang tidak hadir luar negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK KKB pada 11 Mei ini, hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.


Pengarang :