Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao pada majlis pengumuman calon di Pusat Khidmat DUN Kuala Kubu Bharu pada 24 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Calon Kerajaan Perpaduan muda, bertenaga

Berumur 31 tahun, kemunculan wanita muda Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) sememangnya menarik perhatian ramai.

Lulusan kejuruteraan itu memenuhi ciri-ciri calon yang boleh meneruskan pencapaian wakil rakyat Lee Kee Hiong yang berusaha keras membawa pembangunan di kawasan tersebut sejak memenangi kerusi itu pada 2013.

Beliau dipilih mewakili Kerajaan Perpaduan Selangor, atas tiket Pakatan Harapan (HARAPAN), dalam persaingan empat penjuru dalam pilihan raya yang ditentukan pada hari pengundian 11 Mei ini.

Selain wanita dan kecemerlangan akademik, calon pilihan Kerajaan Perpaduan juga mesti berjaya membantu semua kaum dalam masyarakat majmuk, jelas Setiausaha Agung DAP Anthony Loke semasa pengumuman calon pada 24 April.

Pang Sock Tao, 31, diumum calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Calon memain peranan utama kerana calon menjadi wakil dan wajah parti. Bagi kerusi KKB, ada syarat utama iaitu calon mesti wanita, ada pengetahuan dan kelayakan akademik,” katanya.

“[Calon juga] ada pengalaman bekerja, pengetahuan politik, boleh menjaga orang Melayu, Cina, India dan Orang Asli. Ini syarat penting dalam pertimbangan calon.”

Lahir di Selangor pada 1993, selain keputusan cemerlang di peringkat sekolah, Sock Tao pula mempunyai ijazah sarjana muda kejuruteraan elektrik dan elektronik (kepujian) daripada Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Membesar dalam keluarga sederhana, calon HARAPAN ini diyakini mudah mendekati orang kebanyakan. Beliau tinggal di pangsapuri bersama ibu bapa dan enam adik-beradik, termasuk kembarnya.

Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao (tiga, kiri) beramah mesra bersama orang ramai pada walkabout di sekitar Pasar Awam pekan Kuala Kubu Bharu pada 30 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Ibunya seorang pengasuh, manakala bapanya buruh binaan. Bapanya mengikuti politik daripada media tetapi kakaknya turut bergiat aktif dalam Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Pada peringkat sekolah menengah, Sock Tao dihantar ke asrama di Port Dickson supaya beliau boleh belajar lebih selesa. Di sekolah itu, beliau aktif dalam kumpulan debat sehingga ke kampus Uniten.

Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu pernah menjadi juara pertandingan debat kebangsaan. Aktiviti debat yang disertai itulah mencetuskan minat terhadap politik seawal usia 17 tahun.

Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao ketika sesi ‘walkabout’ beramah mesra bersama penduduk orang asli di Kampung Tun Abdul Razak , Hulu Selangor pada 29 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Selain itu, desakan dan kempen Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang giat menuntut perubahan negara juga menerbitkan kecenderungannya terhadap politik tanah air.

“Semakin saya berdebat, semakin banyak isu atau topik yang saya pelajari dan semakin berminat dalam isu semasa termasuk politik.

“Yang kedua, perhimpunan Bersih, betapa peritnya perjuangan rakyat Malaysia membawa perubahan kepada negara tercinta mendorong saya melakukan sesuatu kepada tanah air,” katanya ketika ditemui pada 26 April.

Kesedaran politik

Atas kesedaran politik itu, beliau menceburi politik selepas tamat pengajian pada 2017 dengan berkhidmat sebagai sukarelawan media DAP menjelang pilihan raya umum 2018 yang menyaksikan perubahan besar politik negara.

Sock Tao mendapat pendedahan ehwal pentadbiran negara dan berurusan dengan penjawat awam semasa bertugas dengan Yeo Bee Yin, menteri tenaga, teknologi, sains, perubahan iklim dan alam sekitar. Beliau juga sempat berkhidmat di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan selepas pilihan raya umum 2022.

Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao beramah mesra bersama penduduk ketika sesi walkabout di pekan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 1 Mei 2024. Turut hadir Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Setiausaha DAP Selangor Ng Sze Han. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pernah mengikuti Kee Hiong turun padang, Sock Tao tidak terlalu asing dengan kerusi DUN ini, antara kawasan bersejarah di Hulu Selangor. Beliau yakin mampu meneruskan prestasi mendiang, yang menghembuskan nafas terakhir akibat barah pada usia 58 tahun.

“Saya percaya saya mampu kerja sekeras-kerasnya untuk mengubah hidup rakyat lebih baik, lebih sejahtera, saksama kepada semua,” katanya dalam wawancara dengan Selangorkini.

Meminati buku persaingan teknologi Chip War: The Fight for the World’s Most Critical Technology tulisan Chris Miller, Sock Tao juga menyanjungi bapa kemerdekaan negara Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.

Baginya, putera raja Kedah itu seorang negarawan yang berani membawa tanah air bebas daripada penjajahan British dan menyatukan semua rakyat, sekali gus menjadikan almarhum satu-satunya idola politik beliau.

(Dari kiri) Calon HARAPAN Pang Sock Tao, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (PRM) pada hari penamaan calon PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Bharu pada 27 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Sock Tao bertanding melawan Khairul Azhari Saut yang mewakili Perikatan Nasional, Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Kira-kira 40,000 pengundi Kuala Kubu Baharu, dengan pecahan kaum yang agak seimbang, akan menentukan pilihan masing-masing.

Artikel ini disusun daripada temu bual Sock Tao bersama wartawan SHEEDA FATHIL pada 26 April

Nama: Pang Sock Tao
Lahir: 26 April 1993, Selangor
Usia: 31 tahun
Pendidikan: Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Kepujian) Universiti Tenaga Nasional
Tokoh diminati: Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj
Buku diminati: Chip War: The Fight for the World’s Most Critical Technology tulisan Chris Miller


Pengarang :