Orang mengunjungi Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 25 Februari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Program Madani Rakyat Zon Utara buka tirai esok, 196 perkhidmatan disediakan

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Berbaki sehari sahaja lagi, Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara yang menyediakan 196 perkhidmatan kementerian dan agensi kerajaan akan membuka tirai esok hingga Ahad ini.

Program yang berlangsung di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang bermula 9 pagi hingga 10 malam itu ialah platform untuk memberi peluang kepada masyarakat setempat memahami dan menilai dasar serta inisiatif baharu dilaksanakan Kerajaan Madani dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Penganjuran siri kedua Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Pengangkutan (MOT) dan kerajaan Pulau Pinang itu merangkumi tiga negeri utara Semenanjung iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerangkan cara menggangkat berat yang betul kepada penggunjung sempena Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 24 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pelbagai tarikan menanti pengunjung dengan penganjuran kali ini bakal menumpukan kepada agenda berkaitan kesejahteraan rakyat, perpaduan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pengangkutan awam bersepadu.

Antara yang menjadi tarikan ialah Karnival Kerjaya yang menawarkan lebih 1,500 peluang pekerjaan, penawaran diskaun hingga 50 peratus di kaunter bayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia dan penukaran topi keledar anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak 5,000 unit secara percuma.

Selain itu, program yang menyasarkan 100,000 pengunjung itu turut menawarkan baucar e-dompet bernilai RM20 untuk 1,000 pengunjung terawal di Jualan Madani serta diskaun hingga 20 peratus bagi pelbagai Jualan Rahmah.

Orang ramai mengambil peluang menjalani saringan kesihatan percuma ditawarkan Kerajaan Negeri melalui Selcare pada Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kuala Selangor pada 24 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

MOT sebagai kementerian peneraju program itu juga akan membuka sebuah pavilion khas yang menempatkan 15 agensi di bawahnya di samping kementerian serta pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi pelbagai perkhidmatan terus kepada rakyat.

Bagi memudahkan perjalanan orang ramai, MOT turut menyediakan perkhidmatan bas perantara bermula 10 pagi hingga 10 malam dan perkhidmatan feri percuma dari Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth ke Pangkalan Raja Tun Uda di George Town, sepanjang tiga hari Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara berlangsung.

Turut disediakan perkhidmatan KTM Komuter Utara secara percuma selama dua hari pada 4 dan 5 Mei iaitu hari kedua dan terakhir program, melibatkan perjalanan dari Padang Besar dan Ipoh ke Butterworth.

Orang ramai membanjiri Kompleks Sukan Kuala Selangor sempena Program MADANI Rakyat Zon Tengah pada 23 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Lebih menarik, hari penutupan Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara pada 5 Mei ini diadakan bersekali dengan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Program Madani Rakyat 2024 merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember tahun lepas.

Program itu merupakan wadah untuk masyarakat mendapatkan perkhidmatan secara terus daripada kementerian dan agensi di peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri, di samping memberi peluang kepada masyarakat umum mengemukakan pandangan dan cadangan penambahbaikan mutu perkhidmatan kerajaan.

– BERNAMA


Pengarang :