Calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao bercakap kepada media selepas sesi ramah mesra bersama orang ramai di Restoran Rasa 22, Hulu Selangor pada 2 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calon Kerajaan Perpaduan bertenaga meski seminggu kempen pagi ke malam

HULU SELANGOR, 2 MEI: Hampir seminggu menjalani kempen pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB), calon Kerajaan Perpaduan masih bertenaga berjumpa masyarakat setempat.

Pang Sock Tao, 31, kekal tersenyum manis serta ramah bertegur dengan kira-kira 30 pelanggan dan peniaga di di Restoran Rasa 22, Rasa di sini.

“Saya tidak tahu berapa ramai pengundi sudah didekati namun setiap hari bermula 8 pagi hingga 10 malam, saya sedaya upaya berjumpa pengundi dengan memperkenalkan diri sebagai calon nombor dua.

“Saya yakin semangat perpaduan dan kerjasama semua parti dalam kerajaan mampu kekalkan KKB. Yang penting fokus kepada kempen serta golongan anak muda. Saya akan terangkan agenda yang kita bawa,” katanya selepas program berkenaan.

Calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao bersama Pengerusi DAP, Lim Guan Eng beramah mesra bersama orang ramai di Restoran Rasa 22, Hulu Selangor pada 2 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) KKB diadakan susulan kematian penyandang tiga penggal Lee Kee Hiong akibat barah pada 21 Mac lalu.

Menyaksikan pertandingan empat penjuru, Sock Tao dicabar Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainudin Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

DUN tersebut memiliki 40,226 pengundi terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang tidak hadir luar negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK KKB pada 11 Mei ini, hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

 

 


Pengarang :