Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) menyaksikan penyerahan cek cura Insentif Haji Muassasah Daerah Hulu Selangor oleh Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI Selangor Ahmad Azri Zainal Nor kepada penerima ketika majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Komuniti Pendidik dan Jemaah Haji Muassasah peringkat Hulu Selangor pada 5 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jemaah haji syukur terima bantuan negeri RM1,000, ringan kos di tanah suci

HULU SELANGOR, 6 MEI: Pemberian Insentif Haji Muassasah berjumlah RM1,000 oleh Kerajaan Negeri akan diguna untuk menampung kos perbelanjaan di tanah suci.

Timbalan komandan Maktab Polis Kuala Kubu Bharu berkata beliau bersyukur menerima bantuan haji tersebut dan menyifatkan sebagai rezeki menunaikan rukun Islam kelima.

Mohd Rusli Din, 59. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Supritendan Mohd Rusli Din berkata sumbangan berkenaan turut diterima isteri Norain Zainol, 58, serta anaknya Mohd Naim, 27.

“Sumbangan ini memang dapat membantu kurangkan kos perbelanjaan. Saya memang tahu ada bantuan ini tapi tak sangka meningkat. Wang ini juga untuk uruskan persiapan,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan bantuan skim berkenaan yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, semalam.

Azura Karim, 49. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu Azura Karim, 49, yang bekerja sebagai guru berkata peningkatan sumbangan program tahunan itu bersesuaian dengan situasi kenaikan harga barang ketika ini.

“Lagi pun duit ini juga boleh membantu kiranya harga barangan di sana mahal. Boleh bantu ringankan beban belanja,” katanya yang akan berlepas pada 20 Mei ini.

Rakannya Zurinawati Sahruji, 51, tidak tahu bantuan itu ditingkatkan kepada RM1,000 berbanding RM500 pada tahun-tahun sebelumnya.

Zurinawati Sahruji, 51. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Memang saya tidak menyangka. Alhamudilillah ini adalah rezeki saya. Boleh tampung kos beli barang keperluan sebelum berangkat ke tanah suci,” katanya.

Pada Jumaat, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Insentif Haji Muassasah ditingkatkan dari RM500 kepada RM1,000 yang memanfaatkan 6,000 bakal jemaah pada tahun ini.

Amirudin berkata ia melibatkan peruntukan berjumlah RM6 juta meningkat tiga kali ganda berbanding jumlah insentif tahun lalu iaitu RM1.5 juta.

Bakal jemaah boleh membuat permohonan hingga 23 Ogos di pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau pejabat penyelaras DUN masing-masing.


Pengarang :