SKTTDI Jaya rangkul kejuaraan ke-5 Pertandingan Kitar Semula F&N dan MBSA

kitar semula mbsa 01

SHAH ALAM, 22 OKT: Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tun Dr Ismail Jaya diumumkan sebagai pemenang kategori sekolah rendah Pertandingan Kitar Semula Anjuran F&N dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi tahun 2013.

kitar semula mbsa 02Kejayaan itu adalah kali kelima berturut-turut sejak 2009 dan sekolah berkenaan juga pernah dinobatkan sebagai naib juara, pada 2008.

Guru Besarnya, Mariah Mahat, berkata kejayaan itu berpunca daripada kesedaran guru, murid dan ibu bapa berkenaan kepentingan menjaga alam sekitar.

“Penganjuran program ini menjadikan murid saya bersemangat untuk mengumpulkan bahan kitar semula dan akhirnya menimbulkan kesedaran pentingnya menjaga alam sekitar,” katanya.

Mariah berkata demikian selepas sesi penyampaian hadiah dalam Majlis Penutup Kempen Kitar Semula Kali Ke-6 Peringkat Sekolah Shah Alam di Wisma MBSA, di sini, hari ini.

kitar semula mbsa 03Pemenang bagi peringkat sekolah rendah dan menengah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dan sijil penyertaan.

Bagi Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 24, Ruslina Salleh, kejayaan sekolahnya merangkul tempat pertama untuk kategori sekolah menengah datang daripada murid yang memainkan peranan penting dengan komitmen tinggi.

“Kepadatan penduduk di kawasan Seksyen 24 menjadi satu cabaran, namun usaha gigih pelajar menyebabkan kejayaan berpihak kepada sekolah kami,” katanya.

kitar semula mbsa 04Dalam pertandingan tahun ini, sebanyak 67,655 Kilogram bahan kitar semula berjaya dikumpulkan membabitkan penyertaan sembilan sekolah menengah dan 12 sekolah rendah sekitar bandaraya berkenaan..

Sementara itu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan ketika merasmikan majlis itu berkata, bahan kitar semula yang menjadi bahan buangan bagi sesetengah pihak mampu menjana sumber ekonomi kepada pihak lain.

“Kita harus mulakan dari dapur rumah kita sendiri kerana bahan kitar semula mampu menjana ekonomi keluarga,” katanya. -NFN-


Pengarang :