Karnival Bola Jaring Perpaduan tingkat toleransi kaum

mbpj bola jaringPETALING JAYA 23 OKT: Dalam usaha memperkasakan perpaduan antara kaum, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPBJ) bekerjasama dengan Nestle-Corn flakes dan Kelab SportsUnite menganjurkan Karnival Bola Jaring Perpaduan, pada 17 November ini.

Karnival itu dibuka kepada 16 pasukan yang membuat pendaftaran awal dengan menggunakan pendekatan ?siapa cepat dia dapat? membabitkan yuran penyertaan RM30 setiap pasukan.

Pasukan yang bertanding juga perlu menampilkan sekurang-kurangnya dua pemain berbilang kaum dan bakal berlangsung di Gelanggang Tenis Tertutup Kompleks Sukan MBPJ Kelana Jaya bermula jam 8.30 pagi hingga lima petang.

Timbalan Setiausaha MBPJ, Ahmat Mohaayen Said, berkata karnival berkenaan bertujuan melahirkan budaya sukan dan semangat perpaduan antara pemain berbilang kaum.

“Sukan adalah aktiviti yang boleh menyumbang kepada nilai positif seperti semangat persaingan yang sihat, tolenransi dan pembangunan fizikal berkualiti. Saya juga berharap karnival ini akan menjadi acara tahunan,” katanya pada sidang media karnival berkenaan, di Ibu Pejabat MBPJ, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kelab Sukan SportsUnite, Datuk Dina Rizal, berkata karnival itu antara acara unik bagi mempromosi perpaduan dan integrasi kaum melalui sukan.

“Kami ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang terbabit kerana sudi bekerjasama menganjurkan karnival unik ini. Pelbagai hadiah menanti juara pertandingan iaitu wang tunai RM1,500, piala iringan, pingat dan barangan Nestle CornFlakes.

“Naib johan pula akan menerima wang tunai RM1,000, pingat dan barangan Nestle CornFlakes. Bagi tempat ketiga dan keempat, masing-masing akan membawa pulang wang tunai RM700 dan RM500, pingat dan barangan Nestle CornFlakes.

Setiap pemain perlu melampirkan fotostat kad pengenalan untuk menyertai karnival itu dan menyerahkannya bersama borang penyertaan kepada Penyelaras Program Pembangunan Bola Jaring MBPJ, Norazizah Mukijan dengan menghubunginya di talian 013-2071963.

-NFN-


Pengarang :