‘Super Mokh’ bawa tuah kepada Tourism Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 JUN: Keunikan reka bentuk bot berhias ‘retro’ Tourism Selangor membuahkan hasil apabila diumumkan sebagai Naib Johan Bot Berhias Paling Kreatif pada Festival Magic Of The Night 2015 Putrajaya, 5 Jun lalu.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din, berkata kejayaan manis itu didorong usahasama badan pelancongan terbabit dalam menonjolkan tarikan pelancongan negeri.

image (1)Beliau berkata antara keunikan reka bentuk bot berhias itu adalah memaparkan lagenda bola sepak negara, Dato’ Mokhtar Dahari yang pernah menjadi ikon sukan itu sekitar 70 dan 80 an.

“Selangor kaya dengan pelbagai keunikan sejarah dan budaya serta lagenda terhasil daripada anak jati negeri ini.

“Maka, kami mengangkat lagenda bola sepak negeri ‘Super Mokh’ yang cukup terkenal dalam rekaan bot berhias ini,” katanya dalam kenyataan.

Mokhtar Dahari sebelum ini pernah bermain untuk pasukan Selangor dari 1972 hingga 1990 selain pernah beraksi untuk pasukan kebangsaan dari 1972 hingga 1985.

Pada masa sama, Noorul Ashikin berkata antara tarikan lain hiasan bot berhias dipamerkan Tourism Selangor adalah penggunaan warna dan reka bentuk cahaya yang melambangkan imej negeri.

Katanya, suku kaum Mah Meri yang terkenal di Pulau Carey, Selangor turut digunakan sebagai daya penarik kepada kepelbagaian rakyat di negeri itu.

image“Penggunaan Centong Buluh, Tiub Buluh yang dihiaskan bersama melambangkan keunikan suku kaum Mah Meri ketika meraikan pelbagai sambutan dan perayaan mereka.

“Malah, kami juga mengetengahkan penggunaan daun origami dan ukiran kayu sebagai lambang kepada bumi hijau dan kesungguhan kaum itu mengekalkan persekitaran hijau sejak zaman nenek moyang mereka,” katanya.

Festival Magic Of The Night 2016 Putrajaya adalah acara tahunan yang memfokuskan usaha untuk mempromosi pelancongan seluruh negara.

Selain Selangor, festival terbabit turut disertai Jabatan Pelancongan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

-AA-


Pengarang :