Memori kad raya ‘Made in Kamunting’

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 14 JUN: Dahulu, sebelum whatsapp dan facebook menguasai dunia komunikasi, menghantar kad raya menjadi sebahagian daripada tradisi penting masyarakat kita sebelum menjelangnya hari raya aidilfitri.

Kad raya bertulisan tangan ini seolah-olah menjadi kemestian pada masa itu sehinggakan Pos Malaysia pada masa itu terpaksa mengambil kakitangan sementara untuk melicinkan penghantaran berjuta-juta kad raya apabila menjelang sahaja minggu kedua bulan puasa.

tian chua pc pkr 01Sehingga sampai pada satu tahap, pada 1991, Pos Malaysia melaporkan terdapat kira-kira 500,000 kad raya yang tersadai di pejabat-pejabat pos dan terpaksa dihantar selepas cuti raya gara-gara terlalu banyak kad raya yang perlu diuruskan.

Bagaimanapun tradisi menghantar kad raya semakin dilupakan dan hanya tinggal kenangan apabila whatsapp dan facebook mula mengambil alih tugas kad raya ini.

Namun, bagi Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, disebalik pudarnya tradisi menghantar kad raya, ada satu memori mengenainya yang masih kekal terpahat dalam ingatannya.

Mengimbas kembali detik itu, Tian Chua berkata, ketika itu beliau berada dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua tahun, 2001 hingga 2003 di Kem Kamunting di Perak.

“Semasa itu saya sebagai tahanan ISA, maknanya dua kali raya, saya di dalam tahanan. Semasa di dalam tahanan tidak mungkin kita dapat beli kad raya. Jadi saya lukis kad raya, bukan satu dua tetapi berpuluh-puluh keping saya lukis kemudian hantar kepada kawan di luar sana.

“Ada beberapa gambar saya lukis sebagai penghias kad raya buatan tangan saya itu tetapi yang paling saya ingat adalah gambar Masjid Al-Aqsa yang terletak di Baitulmaqdis, Palestin sebagai mengingati perjuangan pembebasan rakyat Palestin di mana ini sinonim dengan keadilan yang kita semua perjuangkan,” katanya kepada SelangorKini.

Jelasnya, beliau memperolehi kertas dan pewarna air melalui peguamnya sebelum menyerahkan kembali kad raya yang sudah siap kepada peguamnya untuk dihantar kepada penerima.

Katanya lagi, ucapan kad raya itu turut diselit dengan kata semangat kepada rakan di luar supaya mereka mengekalkan momentum perjuangan.

“Antara pihak yang saya hantar kad raya ini adalah ahli keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim, ahli dalam parti dan ramai aktivis lain dan memang saya berharap kad raya ini dapat menunjukkan satu tanda solidariti.

“Ia supaya semangat perjuangan mereka di luar itu kekal untuk bertahan supaya kita tidak kecewa dan mengalah kerana pemenjaraan kita di dalam Kamunting ini,” kata Tian Chua.

EZY


Pengarang :