BERITA UTAMAEKONOMI

Bursa Malaysia jatuh 40 mata, Dow Jones merosot 1,600 mata

KUALA LUMPUR 6 FEB: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini, menjejaki pasaran serantau yang terjejas teruk oleh penjualan besar-besaran di Wall Street, kata peniaga.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 40.62 mata atau 2.19 peratus kepada 1,812.45 dari penutupan 1,853.07 pada Isnin, lapor BH ONLINE.

Indeks bergerak antara 1,795.85 dan 1,820.37 sepanjang hari selepas dibuka 38.64 mata lebih rendah pada 1,814.43.

FBMACE pula pada 6,141.41 turun 210.02 mata dan FBMEmas pada 12,927.01 jatuh 293.68 mata.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 1,208 berbanding 119, dengan 203 kaunter tidak berubah, 314 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan bagaimanapun meningkat kepada 5.20 bilion saham bernilai RM5.32 bilion daripada 2.65 bilion saham bernilai RM2.84 bilion semalam.

Pasaran saham Asia Tenggara mengalami kerugian besar hari ini, menjadikannya kejatuhan dua hari berturut-turut dengan sebahagian besar pasaran kehilangan semua keuntungan yang dibuat Januari lalu.

Suasana merudum itu turut melanda pasaran di seluruh dunia.

Reuters melaporkan Wall Street menjunam dalam dagangan yang terumbang ambing, dengan indeks S&P 500 dan Dow Industrials merosot lebih daripada empat peratus.

Dow mencatatkan kejatuhan sehari yang terbesar dalam sejarah dengan kehilangan hampir 1,600 mata.

Para pelabur mejauhkan diri daripada saham ekuiti berikutan kebimbangan dengan kenaikan mendadak dalam hasil bon AS susulan data Jumaat lalu yang memperlihatkan upah atau gaji AS meningkat pada kadar terpantas sejak tahun 2009 dan dengan pengangguran yang lebih rendah.

 


Pengarang :