Telefilem Ayah Panggil Balik terbitan Kerajaan Selangor. Foto REMY ARIFIN
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Drama air mata terbit 19 April, pelakon kekok berlakon dengan MB

Oleh NADIAH ZAMLUS, NORRASYIDAH ARSHAD DAN SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

Lakonan Fazlina Ahmad Daud yang memegang watak ibu dalam telefilem Ayah Panggil Balik terbitan Kerajaan Selangor cukup berkesan meski dialognya sekejap-sekejap.

Pewaris kepada seniman dan seniwati tersohor, Datuk Ahmad Daud dan Datin Saadiah itu berjaya menampilkan susuk ibu penyayang. Pada masa sama, isteri yang taat kepada watak Cikgu Zainal.

Mencecah usia 49 tahun, beliau akui melakonkan watak Mak Tam menerusi telefilem yang bakal ditontonkan sempena Aidilfitri itu mencabar kerana kerap kali memegang karakter antagonis sebelum ini.

“Setiap lakonan ada cabarannya. Saya selalu dikaitkan dengan watak yang orang tidak suka, tapi kali ini kena jadi ibu dan isteri mithali sudah pasti rasa mencabar juga antaranya kena jaga latar suara supaya penuh keibuan.

“Hingga sekarang saya masih masuk kelas lakonan untuk belajar. Saya biasa berlakon dengan bakat baru, kita sama-sama turut belajar mereka juga beri kerjasama yang sangat baik,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Bakal ditayangkan pada 19 April di TV2, adik kepada selebriti terkenal, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy itu pernah dikecam tidak pandai berlakon walau berlatar belakang keluarga seniman.

“Mereka kata macam ini ke you berlakon, buat malu famili je. Saya rasa tertekan dan terhina. Tiada belas kasihan langsung.

“Tapi akhirnya saya berterima kasih dekat mereka. Sebab tanpa kata-kata itu saya takkan ada di sini,” katanya yang pernah menerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Skrin 2016.

Selain Fazlina, pempengaruh terkenal Amira Drummer atau Nur Amira Syahira Azizul Abidin memegang watak utama sebagai anak. Adik kepada Syafie Naswip.

Gementar

Penampilan gadis 21 tahun itu tidak mengecewakan walau sebelum ini hanya berlakon di platform media sosial sahaja.

Pernah menerima pengiktirafan sebagai YouTuber Terbaik Asia, gadis Pulau Pinang itu awalnya gementar kerana banyak nama besar dunia seni selain penampilan khas Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Saya masih dianggap baharu dalam bidang lakonan. Jadi bila bergabung dengan orang lama, perasaan gementar tetap ada.

“Namun semuanya berjalan lancar. Mereka beri tunjuk ajar. Bila ada scene (babak) dengan Dato’ Seri, saya agak kekok sebab kita kenal dia sebagai pemimpin. Tapi alhamdulillah semuanya okey,” katanya.

Selain Amirudin, EXCO Kerajaan Negeri Borhan Aman Shah dan Ahli Dewan Negeri Pandamaran Tony Leong Tuck Chee turut membuat penampilan khas.

Telefilem Ayah Panggil Balik mengisahkan konflik keluarga Cikgu Zainal (Zaidi Omar) hingga terpaksa menghalau dua anaknya Fendi dan Husna (Syafie dan Amira) dari kampung.

Kehadiran Abang Kamil (Amirudin) dalam hidup dua beradik itu membantu masa depan mereka. Nama besar lain yang turut memeriahkan drama itu ialah Datuk Ahmad Tamimi Siregar dan pelawak terkenal Ropie.

Bukan hiburan semata-mata, drama hampir dua jam itu sarat kisah kekeluargaan yang mampu membuat penonton mengalir air mata.

Pada masa sama, matlamat Selangor untuk menyampaikan inisiatif Kerajaan Negeri kepada rakyat berlangsung secara santai.


Pengarang :