Usahawan bimbingan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Robiatul Adawiyyah Ibrahim bersama pelbagai produk keluarannya yang mendapat sambutan termasuk dieksport ke China, Singapura dan Brunei. Foto Robiatul Adawiyyah Ibrahim
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Bermula di setinggan, wanita raih usahawan gemilang PKNS

Kejayaan Robiatul Adawiyyah Ibrahim meraih Anugerah Usahawan Gemilang SELBIZ 2023 pada 31 Januari bertitik tolak daripada perniagaan kecil di setinggan Sungai Penchala, Petaling Jaya.

Tekad wanita berumur 37 tahun itu berniaga timbul kerana beliau sedih melihat ayahnya sering meminjam wang demi menyara keluarga ketika zaman kanak-kanaknya.

“Kasihan tengok ayah pinjam sana-sini sampai tanggung hutang RM40,000 sebab mahu sara keluarga, bayar duit teksi dan lain-lain. Ini menguatkan azam saya berniaga,” katanya kepada Selangorkini pada 23 Februari.

Mendapat bimbingan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sejak Mac tahun lepas, kini Robiatul Adawiyyah usahawan produk pencuci mulut pelbagai jenis krep dan kek. Perniagaannya berjaya membawa keluarga keluar daripada kemiskinan.

Bermula secara sambilan pada 2013, anak ketiga lapan beradik memulakan perniagaan di rumah setinggan dengan menghantar set makan tengah hari ke pejabat.

“Buat set makan tengah hari, ayam panggang dan kek semuanya buat di rumah sahaja. Rumah pun kecil, cuma setinggan. Sewa RM350 sebulan,” katanya.

Antara produk keluaran usahawan bimbingan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Robiatul Adawiyyah Ibrahim yang mendapat sambutan termasuk dieksport ke luar negara. Foto Robiatul Adawiyyah Ibrahim

Pada 2015, Robiatul Adawiyyah yang juga guru tadika waktu itu mencuba berniaga krep durian bermodalkan RM300. Tanpa disangka krep duriannya mendapat sambutan dan tular di media sosial.

Melalui 10 ejen, beliau menjual 30 pek hari pertama sebelum bertambah 60 pek hari kedua dan 100 pek hari ketiga.

Saban bulan krep durian keluarannya semakin mendapat sambutan menyebabkan Robiatul Adawiyyah berhenti kerja pada 2018 untuk memberi tumpuan kepada perniagaan.

Tahun sama menyaksikan jualan mencecah RM150,000. Lantaran perniagaan berkembang, setahun kemudian ibu tiga anak itu menyewa sebuah lagi rumah dijadikan pusat operasi pengeluaran krep.

Hasilnya, pengeluaran meningkat 20,000 pek krep durian sebulan, sekali gus jualan meningkat RM1.3 juta setahun.

Produk juga bertambah kepada 20 jenis perisa antaranya matcha, keju, kacang hazel, coklat, pandan, kacang pistachio, black forest, pelangi, kek batik macha, kek tapak kuda dan biscoff keju.

Bulan puasa

Bagi produk krep durian paling laris, Robiatul Adawiyyah menggunakan hingga 1.5 tan isi durian jenis D24 dalam sebulan. Beliau turut mengikat kontrak dengan pembekal isi durian memastikan bekalan sentiasa ada.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 beliau baru sebulan memindahkan operasi di lot kedai dengan sewa RM4,000 sebulan.

“Saya tawakal. Mohon (kebenaran) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) teruskan pengeluaran. Tutup pintu tetapi dalam kedai operasi jalan.

“Masa PKP semua orang duduk rumah dan hendak makan. Rupanya PKP membuatkan rezeki bertambah. Jualan tahun 2020 lebih RM4 juta,” katanya.

Usahawan bimbingan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Robiatul Adawiyyah Ibrahim menyediakan tempahan pelanggan dan produknya kini dieksport ke China, Singapura dan Brunei. Foto Robiatul Adawiyyah Ibrahim

Tahun berikutnya Robiatul Adawiyyah memperoleh jualan RM3.8 juta dan RM3.5 juta pada 2022.

Ketika Ramadan dan Aidilfitri, jualan produknya melonjak kepada RM300,000 hingga RM400,000 sebulan. Pada bulan puasa, pencuci mulut keluarannya dijual di reruai beberapa bazar raya selain pasar raya sekitar Lembah Klang.

“Selain kek, saya juga keluarkan biskut raya. Saya ambil peluang ini tambah produk untuk fokus raya. Krep lebih kepada bulan puasa. Kek dan kuih raya lebih kepada raya,” katanya.

Antara kuih raya dijual ialah tart, semperit, biskut coklat Belgium, biskut coklat hitam dan kuih bangkit keju. Beliau juga menyasarkan untuk mengeluarkan kek tapak kuda hingga 300 bekas sehari pada musim perayaan tahun ini.

Robiatul Adawiyyah bersyukur program pembangunan usahawan PKNS banyak membantunya mendalami strategi berniaga dengan betul.

Pengetahuan diperoleh dalam program itu membolehkan produknya menembusi beberapa pasar raya di negara ini dan kini merancang eksport ke China, Singapura dan Brunei.

“Mereka beri pendedahan bangunkan produk seperti pembungkusan, masuk pasar raya hinggalah eksport,” katanya.

 


Pengarang :