Telefilem Ayah Panggil Balik terbitan Kerajaan Selangor. Foto REMY ARIFIN
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Drama air mata papar bantuan negeri atasi isu keluarga

Tidak lengkap musim perayaan tanpa drama Aidilfitri di kaca televisyen. Tahun ini, telefilem Ayah Panggil Balik terbitan Kerajaan Selangor meneruskan tradisi karya bertema Syawal.

Tayangan hampir dua jam itu bukan hiburan semata-mata, sebaliknya disulami kisah suka duka hidup berkeluarga.

Bakal ditayangkan di TV2, naskhah itu dibarisi pelakon terkenal tanah air antaranya Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Zaidi Omar, Fazlina Ahmad Daud dan Syafie Naswip.

Dipancarkan pada jam 9 malam, 19 April nanti, ulangannya akan disiar di TV1. Namun penonton tidak perlu bimbang kerana ceritanya bakal diulang tayang menerusi media sosial SelangorTV.

Mengisahkan konflik keluarga Cikgu Zainal yang dimainkan Zaidi Omar selaku teraju utama. Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Tribute P Ramlee berusia 65 tahun itu berjaya membawa watak seorang ayah cukup tegas. Namun pada masa sama amat penyayang.

Terkenal dengan watak budak nakal, Syafie Naswip pula sebagai anak. Tidak perlu dipertikaikan lagi, pelakon Mukhsin itu cukup bersahaja memainkan wataknya.

Penggambaran telefilem “Ayah Panggil Balik’ di Surau Darul Nur, Kuala Langat pada 30 Januari 2024. FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sentuh jiwa

Pertama kali beliau digandingkan dengan Amira Drummer juga YouTuber Terbaik Asia sebagai adik-beradik. Meski pertama kali di layar perdana, lakonan Amira sebagai Husna ada waktunya menyentuh jiwa.

Penampilan gadis 21 tahun itu tidak mengecewakan walau sebelum ini hanya berlakon menerusi ciptaan kandungannya sendiri di platform media sosial.

“Saya masih dianggap baharu dalam bidang lakonan. Jadi bila bergabung dengan orang lama, perasaan gementar tetap ada.

“Namun semuanya berjalan lancar. Mereka beri tunjuk ajar. Bila ada scene (babak) dengan Dato’ Seri (Amirudin Shari), saya agak kekok sebab kita kenal dia sebagai pemimpin. Tapi alhamdulillah semuanya okay,” kata Amira ketika ditemui Selangorkini.

Beberapa babaknya bersama Fazlina Ahmad Daud yang memainkan watak ibu mampu membuatkan penonton mengalirkan air mata. Lakonan adik kepada pengacara popular Fauziah Ahmad Daud itu berbisa.

Peranan sebagai ibu dan isteri cukup terkesan meski dialognya hanya sekejap-sekejap. Mencecah usia 49 tahun, beliau akui melakonkan watak Mak Tam itu mencabar kerana sebelum ini terlalu kerap memegang karakter antagonis.

“Setiap lakonan ada cabarannya. Saya selalu dikaitkan dengan watak yang orang tidak suka, tapi kali ini kena jadi ibu dan isteri mithali sudah pasti rasa mencabar juga antaranya kena jaga latar suara supaya penuh keibuan,” katanya.

Kehadiran legenda Ahmad Tamimi membuatkan drama berlatar belakang suasana kampung ini nampak lebih hidup.

Pelakon veteran sepertinya jarang-jarang muncul di kaca televisyen, sekali gus memberi isyarat beliau jenis memilih skrip dan berlakon dalam naskhah berkualiti.

Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) 2023 itu memegang watak imam. Seperti biasa lakonannya bersahaja dan tenang.

Kehadiran Ropie membuatkan drama ini menjadi lebih segar. Sudah pasti adegan pelakon Hantu Kak Limah Balik Kampung itu dinanti penonton.

Selain barisan pelakon mantap, lokasi penggambaran telefilem ini juga main peranan penting. Latar kampung tradisional membuatkan mata tidak terlepas menikmati keindahan Kampung Endah di Banting, Kuala Langat.

Pernah dinobatkan kampung terbaik Selangor, di situ terletak antara inap desa tercantik di negeri ini.

Lokasi penggambaran dipilih EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah. Jelasnya selain memperkenalkan inisiatif Kerajaan Negeri menerusi Ayah Panggil Balik, Selangor mahu lokasi-lokasi menarik diperkenalkan kepada khalayak.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memegang watak Abang Kamil dalam telefilem Ayah Panggil Balik. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Lokasi menarik

“Tahun depan Tahun Melawat Selangor, jadi Kerajaan Negeri berusaha untuk perkenalkan tempat yang cantik di Selangor. Kampung Endah ini memang terkenal sebagai kampung tersusun.

“Selangor sememangnya negeri pembangunan, tetapi dalam kesesakan itu, masih ada kampung dan tempat yang cantik. Yang mana masih kekalkan identiti Orang Melayu, Jawa dan Bugis,” katanya.

Borhan bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut membuat penampilan khas dalam drama berkenaan. Ahli Dewan Negeri Pandamaran Tony Leong Tuck Chee juga ada bersama.

Telefilem arahan Che Mie (gambar), pengarah filem Jibam pada 2017 itu menjelaskan Amirudin memegang watak penting sebagai Abang Kamil.

“Dato’ Seri Amirudin akan tampil dalam banyak babak dan wataknya penting untuk menghidupkan jalan cerita. EXCO lain ialah Borhan Aman Shah dan Tony Leong.

“Penampilan mereka sebagai simbolik rakyat berbilang kaum dan turut mempromosi Inisiatif Selangor Penyayang antaranya Inisiatif Roda Darul Ehsan, Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor dan bantuan perumahan,” katanya.

Selain konflik kekeluargaan, jelasnya, drama itu turut menyelitkan skim Iltizam Selangor Penyayang (ISP) untuk manfaat rakyat dan menekankan perpaduan serta keharmonian.

“Kita yakin ramai akan menonton telefilem sarat dengan pengajaran ini. Waktu tayangan juga dilihat sesuai dan turut diulang tayang selepas itu.”

Amirudin yang memegang watak Abang Kamil bertanggungjawab memperkenalkan bantuan-bantuan kepada dua remaja yang ingin mencari jalan hidup.

Di situlah inisiatif Roda Darul Ehsan, Skim Pinjaman Hijrah Selangor dan Rumah Selangorku diperkenalkan.

Bukan hiburan semata, Amirudin menegaskan langkah populis itu semata-mata mahu menyedarkan rakyat wujudnya banyak program kebajikan disedia Selangor.

“Dalam drama ini, inisiatif-inisiatif Kerajaan Negeri diskripkan, sekali gus memudahkan penonton faham apa yang ditawar Selangor.

“Sejak Julai 2022, Kerajaan Negeri menyusun 47 program bawah ISP. Selain untuk semua warga Selangor, ISP menumpukan usaha meringankan beban kumpulan pendapatan rendah negeri ini,” katanya.

Sejak 2021, Kerajaan Negeri menggunakan pengaruh selebriti bagi memperkenalkan inisiatif untuk rakyat.

Pada tahun berkenaan, Senandung Aidilfitri pertama kali disiarkan ketika larangan balik kampung akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

Tahun berikutnya ia diteruskan dengan menampilkan artis terkenal antaranya Ziana Zain, Sissy Imann, Elyana Emrizal, Raja Azura, Bell Ngasri dan Azlee Senario.

Syawal berikutnya Selangor pertama kalinya muncul di kaca televisyen siaran perdana dengan mempertaruhkan drama lakonan seniwati popular, Erra Fazira.

Drama Selalu Ada itu turut dibintangi pelakon sensasi Sophia Al Barakhbah dan Syafie Naswip. Tahun ini sekali lagi Syafie membintangi drama Ayah Panggil Balik.


Pengarang :