Kelihatan gelandangan duduk di depan premis pada waktu malam.
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Berteduh di Anjung Kembara, gelandangan tidak lagi sunyi rai Aildilfitri

Tiada tempat tinggal, tiada hala tuju melainkan merayau-rayau mengais rezeki. Insan bergelandangan hanya mampu menagih kasih dan ihsan daripada mereka yang bersimpati.

Syawal mereka tidak sama kebanyakan umat Islam lain lantaran kekurangan merantai diri. Mujur ada yang sayang dan menumpang di pusat penempatan disediakan, antaranya Pusat Transit Gelandangan Anjung Kembara Kuala Lumpur.

Wartawan NAZLI IBRAHIM menyorot kehidupan tiga gelandangan termasuk pengalaman menyambut raya di pusat transit berkenaan pada 22 Mac. Foto oleh MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN.

Meski ala kadar, Alam (nama samaran) bertuah dapat merai Aidilfitri bersama keluarga baharu di Pusat Transit Gelandangan Anjung Kembara, Kuala Lumpur.

Pemuda asal Sabah itu merasai nikmat suasana menjelang lebaran. Dahulu, Alam menyambut hari raya sama ada di lorong-lorong atau dalam penjara.

“Di sini kawan-kawan dan penyelia sudah macam keluarga. Mereka ambil berat satu sama lain. Raya nanti kami sambut sama-sama ala kadar sahaja.

“Makan minum insya-Allah ada sumbangan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Tiada tempat tinggal, tiada hala tuju melainkan merayau-rayau mengais rezeki.

Di Anjung Kembara, pemuda berumur 37 tahun itu sering mengikuti kelas pengajian agama selain bergotong-royong membersihkan kawasan dan aktiviti lain.

Walau belum sampai sebulan menetap di Anjung Kembara, beliau diberi kepercayaan untuk melaungkan azan apabila masuk waktu solat.

Berhijrah ke semenanjung kira-kira 22 tahun lalu, anak ketiga daripada lima beradik hanya sekali pulang ke kampung halaman di Kudat pada 2009. Itulah kali terakhir dia mencium tangan ibu.

Sejak itu hubungan dengan keluarga terputus tanpa khabar berita. Malah beliau sendiri tidak mengetahui sama ada ibunya masih hidup.

Mengaku tiada perasaan rindu dengan ahli keluarga lain namun di sudut hatinya masih menyimpan hasrat ingin bertemu ibu.

“Hendak kata rindu, tak ada pula sebab masa saya kecil memang tak rasa kasih sayang keluarga. Sejak kecil macam-macam orang bela saya. Adik-beradik pun memang tak ‘ngam’. Jumpa mesti gaduh.

“Masa balik 2009, itulah kali terakhir saya cium tangan emak. Masa itu emak pun sudah sakit. Sekarang tak tahu emak ada lagi atau tidak. Tekad saya sekarang kumpul duit balik Sabah, nak tengok emak,” katanya.

Seawal usia 15 tahun, Alam meninggalkan Kudat dan ke Melaka kerana dijanjikan kerja di hotel bertaraf lima bintang dengan gaji lumayan melalui ejen.

Namun apabila tiba di bumi Hang Tuah itu, impiannya bertukar menjadi igauan buruk apabila diberi kerja di restoran tidak halal selain mendapat hanya sedikit baki gaji yang dipotong selain kad pengenalan dipegang ejen.

Tanpa kad pengenalan di tangan, Alam melarikan diri ke Pulau Pinang beberapa bulan kemudian.

Di Pulau Mutiara, Alam bergaul dengan orang bermasalah menyebabkannya terjerumus ke dunia jenayah sehinggalah dia membawa diri ke lorong-lorong gelap sekitar Kuala Lumpur.

“Dari Melaka saya lari ke Pulau Pinang. Kad pengenalan masih ejen pegang. Di Pulau Pinang saya selalu lepak di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), bercampur dengan kawan kaki minum, ada yang hisap ganja, ‘fit’ (heroin), macam-macamlah. Masa ini saya duduk rumah bujang dengan kawan-kawan ini.

“Masa ini saya mula rosak. Pada 2006 saya pergi Kuala Lumpur pula. Di sini saya tak kerja dan mula hidup gelandangan. Kerja saya melepak di Kompleks Kota Raya. Bercampur dengan budak-budak kaki samun, mencuri. Janji boleh beli barang,” kongsinya.

Dek ketagihan, 13 kali Alam keluar masuk penjara, selain pernah dibuang daerah ke Bera, Pahang bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan dimasukkan ke pusat pemulihan dadah di Besut, Terengganu.

Selepas berjaya menghilangkan ketagihan dadah, Alam turut meninggalkan pengambilan ketum. Tekadnya mahu mengakhiri episod hitam keluar masuk penjara.

Sebaik menamatkan tempoh buangan, beliau kembali ke Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu dan mula menetap di Anjung Kembara sejak 21 Mac.

Kelainan Syawal

Seorang lagi gelandangan Shukhi (nama samaran) menyifatkan Syawal kali ini satu kelainan buat dirinya. Dahulu beliau sering menyambut raya seorang diri, tetapi tahun ini meraikannya dengan kawan-kawan dan penyelia di Anjung Kembara.

Berumur 53 tahun, Shukhi masih ada tiga anak yang mengambil berat terhadapnya. Selain itu, dia masih menjalin hubungan baik dengan keluarga terutama adik-beradik.

“Anak-anak semua di Kuala Lumpur. Dua orang sudah kahwin. Kadang-kadang mereka datang jenguk saya,” katanya.

Baru selesai menjalani pembedahan barah tahap tiga, anak Shukhi beberapa kali mengajaknya tinggal bersama tetapi ditolak dengan baik kerana tidak mahu menyusahkan mereka.

Anak-anaknya masih menyayangi Shukhi dan tidak keberatan untuk datang ke pusat gelandangan berkenaan setiap kali diminta.

Syawal gelandangan tidak sama kebanyakan umat Islam lain lantaran kekurangan merantai diri.

Berasal dari Beruas, Perak, Shukhi mula terumbang-ambing selepas dipenjarakan enam bulan atas kesalahan jenayah syariah Perak kerana minum arak pada 11 tahun lalu.

Ketika itu dia bekerja sebagai penyelia tapak syarikat pembinaan yang memerlukan dia berurusan dengan pihak perunding projek.

“Di sinilah saya buat satu kesilapan. Saya ditangkap Jabatan Agama Islam Perak kerana mabuk. Saya bukanlah kaki minum tetapi sebab melayan perunding itu sahaja.

“Saya kena penjara enam bulan. Di sinilah detik hitam hidup saya bermula. Saya berpisah dengan isteri pada 2013. Pada 2014 keluarga pindah balik Kuala Lumpur, tinggalkan saya di Beruas. Saya menetap di kampung jaga ibu lumpuh sampai dia meninggal dunia pada 2016,” katanya.

Selepas kematian ibu, Shukhi berpindah ke Kuala Lumpur sehelai sepinggang. Di ibu negara, dia memilih hidup bergelandangan di bawah jejambat di Sri Gombak, Batu Caves. Kebanyakan masanya dihabiskan di situ. Jika mahu membersih diri, dia akan ke masjid berhampiran.

Dia turut mencari sesuap nasi dengan membantu orang ramai di sekitar pasar Sri Gombak.
Kadang-kadang diberi makanan atau upah duit oleh orang yang bersimpati dengannya.

Merasakan hidup semakin kosong, Shukhi mula terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

“Saya tidur di bawah jejambat, berhujan, berpanas dengan tidur banyak nyamuk sampai otak pun jadi kosong. Bila bosan, bila ada duit kadang-kadang minum, kadang-kadang ambil heroin. Tetapi saya tidak menyamun atau mencuri,” katanya.

Pada Disember 2022, Shukhi memutuskan pulang ke kampung dan kembali tinggal di rumah pusaka peninggalan orang tua.

Enam bulan selepas itu Shukhi ditangkap dalam satu operasi besar-besaran memberkas penagih di kampung. Didapati positif dadah, beliau dipenjara tujuh bulan.

Selepas keluar penjara, Shukhi merempat pula di Ipoh sebelum ke Kuala Lumpur dan menetap di Anjung Kembara.

“Saya masuk sini, 7 Januari baru ini. Bila masuk sini, barulah rasa masih dihargai. Kalau tidak saya rasa macam sudah tiada apa-apa. Kena anggap kawan-kawan macam saudara, saling membantu. Hubungan erat di sini. Banyak kebaikan daripada merempat di luar.

Tumpang teduh

“Sini ada kelas pengajian, fardu ain, bantuan makanan, kain baju. Mereka tak anggap kami sampah atau apa. Makan pun penyelia cedokkan ke pinggan. Sebelum ini tak rasa macam ini. Bila dapat rasa, macam satu kelainan, rasa dihargai,” katanya.

Shukhi mendedahkan, sejak tinggal di Anjung Kembara dia memperoleh pekerjaan sambilan dengan kumpulan sukarelawan.

Ia membolehkan Shukhi meraih wang tunai RM70 seminggu sekali untuk membantu kerja sukarelawan termasuk mengecat masjid, sekolah agama dan membantu pesakit tibi di hospital.

Johari (nama samaran) berteduh di Anjung Kembara sejak awal Mac lalu. Ibu bapa sudah lama meninggal dunia, namun dia mempunyai ibu tiri dan sesekali membantunya berniaga di Pasar Cheras.

“Raya kali ini cuma mahu berjumpa emak tiri dan bersalaman. Kalau ada duit sikit saya akan hulur kepada emak tiri. Lepas itu sambung kerja. Saya juga bercadang singgah ke kubur ayah. Kubur emak tidak tahu di mana,” katanya.

Berasal Kluang, Johor, hidup anak muda berumur 36 tahun ini terumbang-ambing apabila terjebak dengan dadah jenis syabu sebelum dipenjara selama empat bulan kira-kira dua tahun lepas.

Kali kedua menumpang teduh di Anjung Kembara, bekas pemandu bas itu yakin mampu mengubah hidupnya lebih baik dengan sokongan kawan-kawan.

Anak tunggal itu juga berhasrat mengumpul duit memperbaharui lesen memandu bas bagi mencari kerja sebagai pemandu.


Pengarang :