BUDAYARENCANA

Puaslah Hati Bapa

Oleh MD Zainuddin

“Kalau bapak kahwin dengan manusia biasa, dengan perempuan biasa, saya tak peduli. Tak kisah, lantaklah. Dengan sesiapa pun. Asalkan manusia biasa. Sekali nikah empat orang kalau dibolehkan Islam, menikahlah. Saya rela. Saya setuju.” Abang membalas sergahan orang kampung.

“Kalau perempuan remaja yang sebaya kau pun tak apa. Budak sekolah belasan tahun pun boleh. Asal tahu menjaga aurat, menjaga waktu lima solat, buat solat malam macam perkara wajib, tak ada masalah. Abang akan terima. Abang tak akan bantah. Abang akan jadi orang pertama menyokong bapak. Abang tak akan derhaka.”

Begitulah bentakan abang selepas mendapat perkhabaran majlis perkahwinan bapak daripada orang-orang kampung. Kami lapan adik-adiknya yang lain terbeliak kerana tidak percaya. Mulut yang terlopong pasti boleh dimasuki langau tanpa kami sedari. Berita majlis perkahwinan bapak sangat sensasi.

Ketika itu, sokongan kami terhadap abang masih belum kukuh. Saya salah seorang di antara adik-adiknya yang masih ragu. Ini kerana abang tidak pernah serasi dengan bapak. Mereka sekadar berpura-pura menunjuk kemesraan apabila keluarga kami sesekali mengadakan kenduri.

Hanya selepas kami menyaksikan sendiri bagaimana bapak berbual-bual dengan seseorang yang tidak kelihatan baru kami mempercayainya. Suara tanpa rupa yang kami dengar itu memanglah suara seorang perempuan. Bapak kelihatannya amat gembira memesrai sesuatu yang bukan di dalam dunia yang nyata.

Majlis itu diadakan di sebuah istana yang tersergam besar. Mereka kata di tepi jalan menghala ke Segamat, berhadapan kampung Kebun Baru. Adalah kira-kira lima belas kilometer dari Sagil ini. Hanya mereka seramai tiga puluh orang itu yang boleh tiba di sana. Itu pun sekadar diizinkan bapak sebagai pengiring beliau.

Orang-orang kampung yang bertuah kerana diundang ke majlis perkahwinan bapak menceritakan kekaguman mereka. Kata mereka istana itu bapak yang bina. Banyak sungguh duit bapak untuk buat istana sebesar itu, puji mereka. Istana itu panjang menganjur berekar-ekar. Bergerbangkan menara kembar. Dipagari tembok selebar lebuhraya.

Di bulan yang lain pula, hendak binakan jambatan gantung seperti jambatan Pulau Pinang. Sebagai melaksanakan hajat moyang isteri mudanya, yang gagal mendapatkan jambatan emas daripada istana Sultan mahmud di Melaka ke puncak Gunung Ledang.

Saya rasa bapak semakin hilang kewarasan sejak berkahwin lagi. Gelagatnya membuat saya terangsang ingin menderhaka. Saya semakin berani mengatakan bapak begitu. Apa lagi selepas abang tiba-tiba terjatuh selepas menutup pintu kereta di  rumahnya di Sagil. Petang Jumaat seminggu lalu, sewaktu tiba dari tempat kerjanya di Tangkak. Kini abang terlantar koma di Hospital Kuala Lumpur selepas tiga hari berada di Hospital Muar.

Doktor-doktor di hospital dan orang-orang di kampung, menganggap kemalangan abang itu sesuatu yang aneh. Abang tidak pernah mempunyai rekod kesihatan yang buruk. Penyakit berangkai yang lumrah dihidapi mereka berumur empat puluh ke atas, belum lagi dihidapi. Abang sangat berhati-hati menjaga kesihatan. Kalau ada masalah abang pun, hanyalah kebencian terhadap sikap kufur bapak. Bapak, yang juga bapa tiri kami.

“Engkau dari mana?” sergah bapak sewaktu berselisih jalan. Saya menuju ke rumah. Dia entah ke mana halanya.

“Kuala Lumpur!” Jawab saya pendek.

“Tengok abang kau? Dah mampus dia?”

Saya tidak menjawab. Muka ini mendadak berbeza ketebalannya. Darah menyirap ke kepala. Kerana mengenangkan bapak sudah tua, hasrat dipendam sementara. Bapak ketawa melihat perubahan saya.

“Engkau jangan mimpilah abang kau itu akan hidup balik. Sembilan ekor jin sekarang ini sedang bekerja keras dalam badannya. Seekor mengusik hati, seekor mengusik jantungnya. Seekor mengusik otaknya, seekor mengusik pankreasnya. Seekor mengusik buah pinggangnya. Seekor mengusik limpanya. Seekor mengusik tulangnya. Seekor mengusik sendinya. Seekor mengusik mukanya. Sembilan ekor semuanya,” bapak ketawa.

“Itulah, aku dah kata jangan derhaka. Jangan lawan. Jangan tentang. Tapi dia degil. Nak derhaka juga. Hah! Sekarang rasalah. Siapa sengsara? Aku jamin umurnya boleh tahan dua tiga hari saja lagi,” ejeknya lagi.

Saya mendongak.

“Aku tahu kau tak dapat mencari Ustaz Al Hafiz. Sebab ustaz itu tengah terlantar sakit. Boy, di mana lagi kau nak cari ustaz yang boleh menangkap jin semacam dia?”

Saya tunduk memandang bumi semula. Saya kalah. Sedih. Tidak menyangka bapak akan berlaku kejam. Kalau pun bermusuh, mengapa sampai membunuh? Tetapi itulah perangai bapak sejak beristeri baru. Sombongnya menjadi-jadi. Kami yang pernah hidup sebumbung dengannya  tidak diingat lagi.

“Jadi aku nak ingatkan pada kau sekali lagi. Jangan cuba tunjuk handal. Jangan cuba nak derhaka. Nanti aku hantarkan sembilan ekor jin yang lain untuk ajar kau. Atau siapa-siapa yang cuba derhaka.”

Saya semakin diam menunduk.

“Emak tiri kau itu ada beribu-ribu pengikut, kau jaga-jaga sikit. Jangan nak buat tak senonoh. Rumah ibu kau dah aku arahkan beberapa ekor jin menjaganya. Jaga sikit kelakuan kau, kalau nak hidup lama.” Bapak berhujah penuh yakin, meninggalkan saya untuk meneruskan perjalanan ke rumah ibu.

Sepanjang perjalanan ke rumah, mata saya melilau. Seolah-olah saya ini diperhatikan. Saya cepat-cepat mengemas pakaian setibanya di rumah. Hati sentiasa tidak tenang. Selesai berkemas, saya meninggalkan rumah menuju Kuala Lumpur bersama emak. Di Kuala Lumpur, saya terlebih dahulu menemui Ustaz Wakil Marhain. Rakan seperguruan Ustaz al Hafiz.

“Abang macam mana?”

Tanya saya kepada mereka yang sabar menunggu di wad ICU itu. Semua diam membatu.

“Abang macam mana?”

Ulang saya. Nada suara menjadi lebih keras. Keadaan serupa. Malah lebih sepi. Bilik kecemasan itu seakan ruang di dalam peti sejuk.

“Sabarlah, abang kau masih boleh diselamatkan,” Ustaz Wakil Marhain memberi harapan.

Terasa semacam ada aliran di pipi. Saya kesat dengan lengan baju. Bergegas ke bilik air. Mencari bilik mandi untuk berwuduk dengan penuh takzim. Terasa sedikit tenang dada yang berombak. Kemudian saya temui sudut sesuai untuk mendirikan solat Isyak yang tertangguh. Di sudut itu, saya memohon kepada Allah agar dikurniakan kekuatan dan ilmu untuk meneruskan tentangan terhadap jin dan syaitan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Pengarang :