SELANGOR

Operasi SAR pemancing hanyut diperluaskan hingga 20 KM

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 20 FEB: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa hilang dikhuatiri lemas ketika memancing di Sungai Gasi, berhampiran Kem Sungai Buloh, diperluaskan sehingga 20 kilometer dari jarak mangsa dihanyutkan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman berkata, operasi hari ini diteruskan dengan kekuatan lebih 70 anggota bomba bersama agensi lain seperti polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor turut digerakkan untuk membuat pencarian dari bawah, menuju ke lokasi mangsa dilaporkan hanyut.

“Pencarian dari lokasi kejadian juga akan diteruskan, mengikut strategi yang dirancang untuk hari ini, ” katanya kepada media.

Pada masa sama, beliau berkata, Unit Anjing Pengesan (K9) Bomba dan Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) juga digunakan untuk melakukan pencarian di lokasi yang dikenal pasti.

“Anggota PPDA akan melakukan pencarian di lubuk di kawasan sungai itu,” katanya sambil menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti air seperti memancing di sungai atau tali air.

Katanya, bagi tempoh Januari sehingga hari ini, sebanyak 12 mangsa dilaporkan mati lemas di Selangor dengan 10 daripada mangsa meninggal dunia ketika menjalani aktiviti di sungai manakala dua lagi di tali air.

Sumber gambar: Bomba Selangor


Pengarang :