SUKANKINI

TM-FMLLP jalin kerjasama, Unifi penaja utama Liga Super

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 2 FEB: Peminat bola sepak tanahair dapat menyaksikan perlawanan secara langsung Liga Malaysia (Liga M) dan Piala Malaysia menerusi unifi apabila Telekom Malaysia Berhad (TM) menjalin kerjasama dengan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

Perjanjian itu menyaksikan unifi, jenama utama TM menjadi penaja bagi Liga Super, Piala Malaysia dan penaja bagi Piala FA mulai tahun ini hingga 2025.

Ia sekali gus membuktikan sokongan berterusan TM terhadap pembangunan bola sepak tempatan dan menaikkan mutu sukan di negara ini.

Melalui penajaan dimeterai, Liga Super kini dikenali ‘unifi Liga Super’ dan Piala Malaysia sebagai ‘unifi Piala Malaysia’.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TM, Datuk Seri Shazalli Ramly, berkata pihaknya teruja meneruskan kerjasama dengan FMLLP dalam membangunkan sukan bola sepak tempatan dan membawa lebih banyak detik menarik dalam liga negara kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

“Seluruh peminat bola sepak di Malaysia kini boleh menonton setiap perlawanan dalam liga ini dan menyaksikan pasukan kegemaran mereka beraksi kerana semua perlawanan akan disiarkan secara langsung melalui unifi TV dan menerusi semua skrin yang boleh diakses menerusi aplikasi unifi PlayTV,” katanya.

Sebagai rakan kongsi siaran, unifi TV menayangkan semua acara dan perlawanan, termasuk Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA serta siaran bersyarat bagi perlawanan Liga Perdana, Piala Cabaran dan perlawanan lain dianjurkan FMLLP.

Pengerusi FMLLP dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Sultan Ibrahim, amat berbesar hati dengan termeterainya perjanjian kerjasama itu.

“Ia yang terbesar dalam sejarah sukan di Malaysia dan adalah bukti keyakinan TM terhadap sukan bola sepak dan liga Malaysia sebagai pemacu komersial dan perpaduan utama di negara ini,” titahnya.

CEO FMLLP, Kevin Ramalingam pula berkata, komitmen jangka panjang TM adalah satu gambaran mencerminkan nilai dan kemampuan liga bola sepak Malaysia.

“Kami amat berterima kasih kepada unifi, jenama yang akan mengemudi dan menyatukan seluruh rakyat untuk bersama menyokong pasukan kegemaran masing-masing,” katanya


Pengarang :