SELANGOR

67% pengundi baru Selangor nilai prestasi Kerajaan Negeri

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 MAC: Prestasi Kerajaan Negeri dan calon dijangka menjadi faktor yang diambil kira pengundi di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Penganalisis politik bebas, Datuk Dr Shamsul Adabi Mamat berkata, kesan ini lebih terasa dalam kalangan kira-kira 67 peratus pengundi baru yang bakal mengundi.

“Kalau kita tengok di Selangor, pertandingan tiga penjuru akan berlaku, jadi pengundi akan mengundi berdasarkan kepada prestasi kerajaan sedia ada dan kedua, prestasi calon.

“Rakyat tidak lagi memilih berdasarkan pilihan tradisional kerana semakin banyak parti seperti Umno berpecah kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS berpecah kepada Parti Amanah Negara (Amanah),” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Jelasnya, keadaan ini memberi kelebihan kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor apabila berdasarkan dapatan kajian beliau di Selangor sebelum ini mendapati 70 peratus responden berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Negeri.

Katanya, kajian yang pernah dibentangkan dalam satu seminar politik tidak berapa lama itu melibatkan 1,000 responden di serata Selangor khususnya di Bangi yang dianggap mempunyai demografi hampir sama dengan Selangor keseluruhan.

“Dalam kajian yang kita buat enam bulan lepas di Selangor menunjukkan wujudnya apa yang dikatakan ‘sentimen Selangor’.

“Sentimen Selangor ini bermaksud rakyat Selangor hari ini lebih 70 peratus berpuas hati dengan Kerajaan PAKATAN hari ini dan ini memberi isyarat dengan kepimpinan sedia ada, Selangor akan kekal kepada PAKATAN,” katanya lagi.


Pengarang :