SELANGOR

9 PKS diaktifkan, bantu pengguna terputus bekalan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 MAC: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) komited mengaktifkan sembilan lokasi Pusat Khidmat Setempat (PKS) ekoran gangguan bekalan air berjadual yang dijangka berlaku di sekitar Lembah Klang bermula hari ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Syabas, Abdul Raof Ahmad berkata, PKS mula diaktifkan mulai seawal 8 pagi tadi.

“Pihak kami bersiap-sedia dengan aset-aset dan bantuan sebanyak 79 lori tangki air dan 10 lori tangki air Jumbo bagi memberikan bantuan kepada pelanggan terjejas.

“PKS beroperasi 24 jam dilengkapi kaunter maklumat untuk membantu pengguna terjejas sepanjang gangguan berkenaan,” katanya memetik laporan MStar Online, hari ini.

Terdahulu, SYABAS menerusi laman Facebook berkata, 427 kawasan di sekitar Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air berikutan kerja-kerja pembaikan peralatan kritikal selama 10 jam di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) bermula hari ini.

Antara kawasan terjejas termasuk Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

Untuk senarai kawasan terlibat gangguan bekalan itu, orang ramai boleh melayari laman web www.syabas.com.my.


Pengarang :