SELANGOR

Cukai Taksiran: MPAJ raih RM46.06 juta

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 30 MAC: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) meraih pendapatan RM46.06 juta hasil perolehan kutipan Cukai Taksiran bagi tempoh suku pertama, tahun ini.

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussain berkata, 120,786 bil diedarkan kepada komuniti dengan pengecualian cukai melibatkan 51,287 unit milikan tanah dan premis bangunan dengan nilai RM9.87 juta.

“Pemilik premis rumah kediaman, bangunan perniagaan, bangunan industri dan kawasan tanah lapang di dalam kawasan MPAJ diseru membuat pembayaran Cukai Taksiran tanpa penangguhan.

“Orang ramai digalakkan membuat pembayaran menggunakan perkhidmatan online iaitu Penggunaan Icomm bagi mengelakkan isu kesesakan kaunter dan tempat letak kereta,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan pemilik premis bangunan menyelesaikan tunggakan Cukai Taksiran boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 151 (5) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Sementara itu, MPAJ kini giat melaksanakan Operasi Kutipan Cukai Taksiran menerusi penghantaran Notis E dan Waran Februari 2018 kepada pemilik yang masih gagal menyelesaikan tunggakan.

“Penghantaran notis dilaksanakan di kawasan berikut iaitu di Menara Mutiara, Menara Indah, Menara Impian, Menara Kayangan dan Pangsapuri Bukit,” katanya.

Terdahulu, Abdul Hamid mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bil 3/2018 di Menara MPAJ, pagi ini.

Mesyuarat turut memfokuskan permasalahan komuniti bandar dan inisiatif berterusan MPAJ membangunkan fasiliti dan kebajikan masyarakat di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.


Pengarang :