GLOBAL

Gempa Papua: Angka korban melonjak 67, ribuan hadapi krisis air dan rumah musnah

GLOBAL 5 MAC: Angka korban ekoran gempa bumi di Papua New Guinea terus meningkat kepada 67 orang tatkala ribuan mangsa lagi berhadapan krisis bekalan air bersih dan kehilangan tempat kediaman.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan angka itu diperolehi oleh Palang Merah yang menjalankan misi kecemasan dan menyelamat di negara itu apabila gempa bumi kuat pada skala 7.5 magnitud melanda pada 26 Februari lalu.

Usaha pemulihan bergerak perlahan dengan anggota bantuan berdepan kesukaran akibat jalan raya yang terputus hubungan dan kehilangan bekalan elektrik yang menyukarkan mereka sampai ke perkampungan terpencil.

Penduduk yang ketakutan di wilayah Southern Highlands, Western Highlands, Enga dan Hela juga berdepan gempa susulan kuat termasuk dua berukuran 6.0 pada awal pagi Isnin.

Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Syria dan Palang Merah Antarabangsa di PNG, Udaya Regmi berkata jumlah kematian dilaporkan Pusat Bencana Kebangsaan serta pasukan pengurusan bencana setakat Jumaat seramai 67 orang.

“Kira-kira 143,000 orang terjejas dengan 17,000 penduduk hilang tempat tinggal kerana kediaman mereka tidak dapat dihuni berikutan musnah sama ada sebahagian atau sepenuhnya,” katanya.

Katanya, masalah utama dihadapi penduduk kini adalah bekalan air dan kebersihan, manakala pekerja bantuan tidak dapat membawa masuk lori besar yang membawa makanan ke kawasan yang terputus hubungan akibat kerosakan jalan teruk dan tanah runtuh.

Kerajaan belum memberikan jumlah kematian rasmi.

Sementara itu hampir seminggu selepas gempa bumi melanda, hampir 150,000 orang masih memerlukan bantuan kecemasan segera, namun jalan rosak dan tanah runtuh menyukarkan bekalan dihantar kepada komuniti yang terperangkap, kata beberapa agensi.

Dilaporkan kediaman milik kira-kira 7,000 orang musnah atau rosak, manakala 147,000 penduduk amat memerlukan makanan, air dan sanitasi.

Tanah runtuh menyebabkan jalan raya tidak dapat dilalui sekali gus menghalang penghantaran bantuan ke tempat-tempat yang paling memerlukannya.

PNG mengisytiharkan darurat di rantau yang dilanda gempa bumi pada minggu lalu tetapi skala bencana itu belum diketahui sehinggalah pekerja bantuan dan pihak berkuasa dapat menyelesaikan pemeriksaan di kawasan terjejas.

SUMBER: AFP/ REUTERS

=EZY=


Pengarang :