SUKANKINI

Piala Sultan Azlan Shah: Australia belasah Ireland, layak ke final

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH 8 MAC : Australia menempah tempat ke perlawanan akhir apabila mengalahkan Ireland 4 – 1 dalam kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah ke 27 di sini, malam tadi.

Juara sembilan kali itu beraksi cemerlang di Stadium Azlan Shah, mudah mengatasi lawannya untuk catatan empat kemenangan berturut-turut dengan 12 mata dan akan melengkap jadual bertemu Argentina selepas ini.

Aussies memperoleh gol perbukaan dalam suku pertama melalui Jake Whetton pada minit ke-11 hasil gerakan pantas melepasi penjaga gol, Mark Ingram.

Tiga minit selepas itu skuad bimbingan Colin Batch menggandakan jaringan menerusi percubaan tepat Daniel Beale.

Blake Govers yang terlepas beberapa peluang, bertindak cemerlang pada suku kedua dan meletakkan juara dunia itu pada kedudukan selesa 3 – 0 dengan gol pada minit ke-21.

Jake Harvie pula mengambil giliran pada sepuluh minit terakhir suku keempat dengan pukulan menepati sasaran ke pintu gol lawan selepas mendapat umpanan bola dari Beale.

Selepas ketinggalan dengan empat gol, Ireland yang terus berusaha bagi menyaingi Australia mendapat gol saguhati hasil percubaan Shane O’Donoghue tiga minit sebelum perlawanan tamat.

Australia akan tampil dalam aksi akhir ke-13 dalam kejohanan jemputan itu dengan kali terakhir muncul juara pada dua tahun lalu.

=EZY=


Pengarang :