SUKANKINI

PKNS FC: Terima kasih MFL, kurang hukuman

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 27 MAC: PKNS FC berterima kasih kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerima rayuan dan mengurangkan hukuman dikenakan kepadanya.

Presidennya, Siti Zubaidah Abd Jabar, berkata, pihaknya merancang menggunakan peruntukan diperoleh bagi program pembangunan PKNS FC demi kemajuan bola sepak negara pada masa depan.

“PKNS FC merakamkan terima kasih kepada Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerima rayuan berkenaan kelewatan melengkapkan dokumen pendaftaran liga dan hukuman dikurangkan dari RM1.5 juta kepada RM500,000.

“Dengan peruntukan diperolehi, PKNS FC mempunyai perancangan untuk memperkukuhkan lagi program pembangunan bola sepak bagi bakat muda melalui Akademi Bola Sepak PKNS FC yang mempunyai seramai 160 pelatih berumur dari lapan hingga 17 tahun seperti dirancang,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan bakat muda itu adalah pelapis kepada pemain profesional yang akan meneruskan perjuangan pasukan negara di masa akan datang.

Katanya, PKNS FC juga mengucapkan tahniah kepada Tunku Ismail yang kembali terpilih sebagai Pengerusi Perkongsian Terhad Liabiliti Bolasepak Malaysia (FMLLP) yang ditukar kepada MFL dalam Kongres Kali Kedua FMLLP di Johor Bahru, semalam.

“PKNS FC mempunyai keyakinan tinggi di atas kepimpinan Tunku Ismail untuk membawa MFL lebih berdaya saing dan dinamik, seterusnya meningkatkan imej Liga Malaysia,” katanya.

=EZY=


Pengarang :