SELANGOR

Sambutan hangat, sedia tambah peruntukan geran kecil alam sekitar

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 MAC: Kerajaan Negeri sedia menambah peruntukan bagi Program Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau tahun hadapan ekoran sambutan menggalakkan.

Exco Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, pada tahun ini Kerajaan Negeri menerima 200 permohonan daripada pelbagai organisasi seluruh negeri.

“Oleh kerana sambutan sangat baik, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan menambah peruntukan pada masa akan datang bagi membolehkan lebih banyak penyertaan diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Taklimat Program Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Selangor 2018 di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di sini, hari ini.

Jelasnya, sehingga kini sebanyak 98 daripada 200 permohonan yang diterima diluluskan.

Katanya, sambutan menggalakkan ini membuktikan kesedaran masyarakat di Selangor semakin bertambah terhadap kepentingan alam sekitar dan teknologi hijau di negeri itu.

Pada tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM750,000 bagi membiayai Program Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Selangor 2018.

Daripada jumlah itu, RM250,000 diperuntukan bagi kategori alam sekitar dengan pembiyaan maksima bagi setiap organisasi sebanyak RM5,000.

Sementara bagi kategori teknologi hijau pula RM500,000 diperuntukan dengan jumlah maksima pembiayaan sebanyak RM10,000.


Pengarang :