NASIONAL

Tun M bakal kemuka surat kepada Pengerusi SPR, bantah tukar peraturan PRU 14

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Tun Dr Mahathir Mohamad bakal mengemukakan surat kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah bagi membantah perubahan yang mungkin ditukar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Beliau berkata, ia berdasarkan taklimat SPR baru-baru ini yang mempunyai perancangan untuk menukar prosedur penamaan calon dan pengiraan undi.

“Ada tindakan dari pihak Kerajaan Persekutuan untuk menukar proses berkenaan agen pengundian dan pengiraan undi (PACA) serta pengiraan undi yang akan dibuat sekali gus.

“Perubahan peraturan sebegini tidak sesuai dan ia tidak dimaklumkan secara bertulis membuatkan kami tidak dapat membuat persediaan,” katanya dalam sidang media Majlis Presiden PAKATAN di Parlimen, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, terdapat dua isu yang timbul daripada taklimat itu.

“Isu pertama mengenai senarai PACA yang sepatutnya dihantar kepada pegawai pada hari penamaan calon, bukan pada hari pengundian.

“Manakala isu kedua adalah cara pengiraan undi yang akan dilaksanakan serentak, berbeza dengan pilihan raya sebelum ini,” katanya.

Ekoran isu berkenaan, Majlis Presiden Pakatan Harapan telah berbincang dan membantah sebarang bentuk pertukaran yang dilakukan.

=EZY=


Pengarang :