AGAMASELANGOR

e-WASIAT MAIS, transformasi baru urus harta

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 18 APR: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melaksanakan transformasi pengurusan harta dan wasiat dengan memperkenalkan Sistem Wasiat Atas Talian (eWASIAT MAIS).

Pengerusi MAIS, Dato’ Mohammed Khusrin Munawi berkata, pelaksanaannya diperkenalkan bagi memudahkan masyarakat menetapkan wasiat hartanah, di bawah pemantauan lantikan MAIS.

Beliau berkata, keperluan itu selaras bidang kuasa di bawah Subseskyen 5 (4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor), 2003.

“Pendaftaran awal menerusi sistem ini secara tidak langsung dapat menangani sebarang masalah pembahagian harta pusaka apabila seseorang individu itu meninggal dunia.

“Di samping itu, perkhidmatan penulisan wasiat sekiranya dibuat lebih awal dapat mengelakkan sebarang isu pergaduhan atau perebutan harta pusaka antara waris sebagaimana yang kerap berlaku dalam kalangan masyarakat kita kini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Sistem eWASIAT MAIS di Shah Alam Convention Centre (SACC), hari ini.

Untuk rekod, sistem e-WASIAT MAIS boleh dilayari melalui laman web www.wasat.com.my.

Semakan SelangorKini di laman sesawang berkenaan mendapati, keperluan permohonan pendaftaran Akaun e-WASIAT MAIS mudah diakses dan bersifat mesra pengguna.

Pengguna hanya perlu membuat pendaftaran pemilikan nama secara percuma, dengan mengisi borang dan maklumat wasiat.

Lebih memudahkan pembayaran perkhidmatan itu boleh dibuat secara atas talian untuk proses lanjutan penulisan wasiat.

Sementara itu, Mohammed Khusrin mendedahkan, sejumlah RM60 bilion jumlah kutipan harta pusaka tidak dituntut kini menerusi kenyataan dilapor sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

“Bagaimanapun jumlah ini tidak dapat dipastikan secara menyeluruh adakah jumlah itu tepat, kurang atau lebih lagi daripada nilai asal.

“Namun kita berharap, kesedaran kepada masyarakat untuk menulis wasiat lebih awal boleh dibuat menerusi sistem sedia ada ini,” katanya.

=EZY=


Pengarang :