EKONOMI

Harga Brent meningkat AS$71.80 setong

SINGAPURA 17 APR: Harga minyak meningkat pada Selasa di tengah-tengah kebimbangan berhubung kemungkinan ada risiko tinggi terhadap gangguan bekalan terutama di Asia Barat.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$71.80 setong pada 0120 GMT, naik 38 cent atau 0.5 peratus daripada penutup terakhirnya.

Niaga hadapan minyak mentah Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) naik 39 cent atau 0.6 peratus kepada AS$66.61 setong.

Peniaga berkata, pasaran minyak menerima sokongan umum berikutan jangkaan bahawa wujudnya risiko gangguan bekalan yang tinggi termasuk potensi konflik di Asia Barat, sekatan baharu AS ke atas Iran dan kejatuhan pengeluaran susulan keputusan politik dan krisis ekonomi di Venezuela.

“Dengan banyak potensi gangguan bekalan dan beberapa petanda pergolakan pasaran akan berakhir tidak lama lagi, peniaga terus meraih premium ke atas risiko geopolitik,” kata Ketua Pedagang Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes.

“Harga minyak kekal tinggi… sekurang-kurangnya sehingga tarikh akhir perjanjian nuklear Iran (12 Mei), jika tidak baki tahun 2018,” tambahnya.

Pasaran minyak umumnya mendapat sokongan baik tahun ini dengan Brent menokok sekitar 16 peratus daripada paras rendah 2018 pada Februari, disebabkan permintaan yang positif selepas kartel pengeluar, Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) menerajui pemotongan bekalan dengan sasaran untuk mengetatkan pasaran dan memacu harga.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :