GLOBAL

Kami tidak jual data orang ramai – Facebook

SAN FRANCISCO 17 APR: Facebook, yang terbabit dalam skandal berhubung salah urus data pengguna, semalam mengesahkan ia juga mengumpul maklumat orang ramai di luar penggunaan rangkaian sosial itu.

Ketika sesi keterangan panas di Kongres minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg, menjelaskan media sosial itu mengumpul data melebihi apa yang dikongsi pengguna dalam profil mereka.

“Apabila melawat laman atau aplikasi yang menggunakan perkhidmatan kami, kami mendapat maklumat walaupun pengguna sudah log keluar atau tidak mempunyai akaun Facebook.

“Ini kerana aplikasi dan laman lain tidak tahu siapa menggunakan Facebook,” kata pengarah pengurusan produk Facebook, David Baser, dalam siaran di blog rangkaian sosial itu.

Baser berkata, banyak laman web dan aplikasi menggunakan perkhidmatan Facebook untuk mensasarkan kandungan dan iklan, termasuk menerusi butang ‘Suka’ dan ‘Kongsi’ rangkaian sosial itu, apabila pengguna menggunakan akaun Facebook untuk log ke laman web atau aplikasi lain dan iklan Facebook dan alat ukuran.

Namun beliau menegaskan amalan itu sudah meluas, dengan syarikat seperti Google dan Twitter juga melakukan perkara sama.

“Kebanyakan laman web dan aplikasi menghantar maklumat sama kepada banyak syarikat setiap kalau orang ramai menggunakannya.

“Ada tiga cara utama Facebook menggunakan maklumat yang kami dapatkan daripada laman web dan aplikasi lain: menyediakan perkhidmatan kepada laman atau aplikasi; memperbaiki keselamatan Facebook; dan meningkatkan produk dan perkhidmatan sendiri.

“Saya mahu jelaskan: Kami tidak menjual data orang ramai,” menurut siaran di blog itu. –

SUMBER: AFP


Pengarang :