SELANGOR

Keluar parti, tidak beri kesan kepada PAKATAN

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 20 APR: Perletakkan jawatan Pengarah Biro Pilihan Raya AMANAH Selangor dan Ketua Bahagian Kota Raja, Jaafar Samsuddin tidak memberi kesan kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) ini.

Pengerusi PAKATAN Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya yakin kepimpinan AMANAH mempunyai keupayaan uruskan perkara itu dengan baik.

“Saya bukan ahli AMANAH, saya tidak mencampuri urusan dalam parti itu, saya percaya mereka menyelesaikan masalah itu dengan baik.

“Semua akan dapat diselesaikan dengan baik menerusi muafakat,” katanya ketika ditemui.

Mohamed Azmin turut menafikan perkara itu berlaku disebabkan perebutan kerusi calon.

Malah, katanya, perbincangan mengenai calon dibincangkan secara telus dan terbuka.

“Kita berbincang dengan kesemua anggota diperingkat negeri ke majlis presiden dan dirujuk semula ke negeri.

“Proses dilaksanakan secara telus dan terbuka,” katanya.

Terdahulu, Jaafar Samsuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Jaafar meletakkan jawatannya berkuatkuasa Rabu lalu.

Surat peletakan jawatan secara rasmi bertarikh 18 April 2018 itu sudah dihantar ke ibu pejabat AMANAH Negeri di Shah Alam, hari ini.


Pengarang :