SELANGOR

Pengundi Ampang pilih PAKATAN teraju Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 27 APR : Perubahan senario politik terkini Selangor tidak mengubah sentimen pengundian warga Ampang terhadap pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Calon kerusi Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yakin masyarakat di kawasan itu tetap memilih PAKATAN sebagai gabungan terbaik yang mampu mengurus kemajuan Selangor dengan telus.

Beliau berkata, rakyat Ampang dapat menilai kejayaan pentadbiran PAKATAN sejak dua penggal lalu ketika mula mentadbir Selangor pada 2008.

“Ketika saya turun padang meninjau sebarang masalah, saya melihat mood dan persekitaran warga Ampang itu tetap kepada kepimpinan PAKATAN.

“Ada yang datang kepada saya, minta bendera parti, logo, baju, sepanduk dan pelbagai lagi sebagai tanda sokongan mereka terhadap saya dan pimpinan PAKATAN Selangor.

“Saya percaya dan tidak mustahil perkembangan positif ini mendorong sumbangan yang sangat baik untuk kita terus kekal di negeri berkebajikan ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada SelangorKini ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra penduduk Springville sempena Nisfu Sya’ban dan awal Ramadan di, Bukit Antarabangsa, malam tadi.

Ketua Wanita KEADILAN itu berkata, di bawah urus tadbir PAKATAN, rakyat di Selangor terus menerima manfaat berterusan di bawah agenda berkebajikan yang diperkenalkan pentadbiran Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Justeru katanya, parti lawan dilihat berdepan kesukaran meraih populariti undi hasil daripada kecermelangan pentadbiran PAKATAN.

“Saya yakin dan percaya kemajuan dan kejayaan inilah yang akan menjadi penanda aras bahawa kita boleh mengekalkan PAKATAN di Ampang dan Selangor,” katanya.

Zuraida diumum sebagai calon KEADILAN bagi kerusi P99 Ampang Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).

Pada PRU lalu, beliau menang dengan 41,969 undi menewaskan Rozaidah Talib daripada Umno yang meraih 28,691 undi.

Pada 2008, beliau memenangi kerusi itu dengan 26,995 undi mengalahkan wakil Umno, Azman Wahid yang memperoleh 23,319 undi.


Pengarang :