AGAMASELANGOR

Selangor belanja RM213 juta untuk surau dan masjid

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 1 APR: Sejumlah RM213 juta dibelanjakan untuk pembangunan dan menaik taraf masjid serta surau sejak pentadbiran negeri diterajui Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, empat tahun lalu.

Mohamed Azmin berkata, ia termasuk menyiapkan pembangunan empat masjid baru di daerah Gombak, iaitu Masjid Zakaria, Gombak Utara; Masjid Taman Tun Teja, Rawang; Masjid Ukay Perdana dan Masjid Kampung Klang Gate, Hulu Kelang.

“Kerajaan Negeri hari ini melaksanakan dasar dan kebijakan bersifat ‘people-centric’ atau peduli rakyat serta menjamin kualiti hidup lebih baik, bersatu padu juga harmoni untuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pengusaha SAR Selangor, di Masjid Al-Syakirin, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, selain tempat beribadat, masjid dan surau juga adalah salah satu tempat untuk masyarakat mengukuhkan perpaduan dalam kalangan meraka.

Katanya, usaha Kerajaan Negeri memumpuk perpaduan dalam kalangan rakyat selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada istiadat Pembukaan Dewan Negeri Selangor (DNS), baru-baru ini.

“Justeru, saya ingin menyeru kepada seluruh rakyat untuk menjunjung titah DYMM Tuanku Sultan demi melakar kecemerlangan negeri selaras gagasan Membangun Bangsa Memakmur Negeri, sekali gus melonjakkan Selangor sebagai masa depan Malaysia,” katanya.


Pengarang :