NASIONAL

Zuraida: Manifesto Wanita BN sekadar gah di atas kertas

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 26 APR: Wanita Pakatan Harapan (PAKATAN) menyifatkan manifesto Barisan Nasional (BN) untuk wanita sebagai janji palsu yang sama seperti dua Pilihan Raya Umum (PRU) sebelumnya.

Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin berkata, rakyat sendiri boleh menilai keikhlasan wantia BN yang hanya turun padang di waktu Pilihanraya Umum sahaja.

“Tan Sri Shahriat Jalil kononnya mengatakan 25 tindakan disertai dengan 364 inisiatif itu dipersetujui Perdana Menteri.

“Namun, janji terbaru itu sememangnya tidak boleh dipercayai wanita Malaysia, sepertimana manifesto yang masih belum lagi mereka laksanakan pada PRU-12 dan PRU-13 lepas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zuraida mempersoalkan kenyataan wanita BN yang mendakwa mereka peka terhadap wanita, namun mengapa perkara yang dijanjikan tidak dilaksanakan.

“Mereka memegang tampuk pemerintahan sekian lama tetapi gagal memastikan kesejahteraan wanita di Malaysia.

“Janji seperti penggubalan akta gangguan seksual, pelbagai insentif untuk wanita bekerja, koperasi wanita dan latihan vokasional sememangnya mereka boleh laksanakannya semasa mereka memerintah selama 60 tahun, tetapi tiada langsung usaha untuk mereka laksanakannya.

“Saya menyeru kepada semua wanita Malaysia agar tidak terpedaya dengan janji palsu Wanita BN,” katanya.

Zuraida turut menyeru rakyat Malaysia khususnya wanita untuk tidak terus terpedaya dengan janji palsu dan tidak membuang undi kepada BN, kerana mereka telah mengkhianat wanita di negara ini dengan bersengkongkol dengan pemerintahan kleptokrat Kerajaan BN.

Pada masa sama, Zuraida turut membandingkan manifesto BN itu dengan
Agenda Wanita Pakatan Harapan (AWPH) dilancarkan pada Januari tahun lalu yang mengariskan tujuh titik tumpu utama sudah dan akan dilaksanakan.

“Tujuh agenda tersebut adalah pendemokrasi politik dan kepimpinan, masa depan wanita muda, ekonomi peduli wanita, dasar pendidikan progresif, kesihatan mampan, keharmonian sosial serta pemberdayaan dan penguatkuasaan undang-undang.

“Manifesto PAKATAN juga peka terhadap pembangunan dan kesejahteraan wanita dimana kita akan melaksanakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah.

“Ini menunjukkan PAKATAN lebih dekat dengan akar umbi berbanding BN yang mengarang manifesto mereka hanya gah di atas kertas sahaja,” katanya.


Pengarang :