BERITA UTAMASELANGOR

10 Exco angkat sumpah Ahli MMKN Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 14 MEI: 10 Exco Kerajaan Selangor mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), petang ini.

Istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji serta pengurniaan surat cara pelantikan diadakan di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang.

Tiga Exco lama dikekalkan iaitu, Dato’ Teng Chang Khim (DAP), Amirudin Shari (KEADILAN) dan Ganabatirau Veraman (DAP).

Sementara tujuh muka baru adalah, Haniza Talhah (KEADILAN), Ng Sze Han (DAP), Dr Shaharuddin Badaruddin (KEADILAN) dan Hee Loy Sian (KEADILAN).

Turut dilantik, Dr Siti Mariah Mahmud (AMANAH), Ir Izham Hashim (AMANAH) dan Dato’ Abdul Rashid Asari (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

Majlis angkat sumpah disaksikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang turut berkenan di atas pelantikan ke semua Exco Kerajaan Negeri itu.

Hadir sama menyaksikan istiadat penuh gemilang itu, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan pimpinan Ahli Dewan Negeri Selangor.

Terdahulu, pelantikan Exco Kerajaan Negeri termaktub di bawah perenggan (b) Fasal (2) Perkara L111, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.


Pengarang :