PENDIDIKAN SELANGOR

350 pelajar asasi baru, rebut pengajian percuma UNISEL

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BESTARI JAYA, 26 MEI: Universiti Selangor (UNISEL) mensasarkan 350 pelajar asasi baru bakal menerima manfaat pengajian percuma di bawah Skim Dermasiswa, bagi sesi kemasukan Jun, 2018.

Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, daripada jumlah itu pelajar yang mengikuti pengajian Asasi Sains dan Teknologi Maklumat (IT) turut diberi insentif tambahan wang saku RM500 dan pengecualian kemasukan asrama.

“Inisiatif ini dibuat bagi menggalakan lebih ramai mahasiswa memilih UNISEL dan mengikuti pengajian dalam bidang asas Sains dan Teknologi Maklumat.

“Kita juga mengharapkan inisiatif ini akan membuka ruang kepada UNISEL menjadi peneraju kepada bidang pengajian Sains dan Teknologi Maklumat.

“Skim pengajian percuma ini diharapkan juga dapat menarik ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak kira dari luar Selangor atau luar Selangor menjadikan UNISEL sebagai bidang pengkususan dalam kedua-dua bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas hadir menyantuni pelajar baru yang mula mendaftar pada sesi kemasukan Program Asasi, Jun 2018.

Terdahulu, UNISEL memperkenalkan program dermasiswa di peringkat asasi apabila pembelajaran asasi ditawarkan kepada pelajar berkelayakan secara percuma sekiranya pelajar menyambung peringkat sarjana muda di UNISEL.

Usaha itu selaras komitmen Kerajaan Selangor melaksanakan dasar pendidikan percuma sebagaimana dimajukan negara maju lain.

Untuk rekod, UNISEL mendahului komitmen pelaksanaan pengajian percuma di Malaysia.

=EZY=


Pengarang :