SELANGOR

Calon N.49 Sungai Kandis kecam tindakan pihak sebar mesej palsu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 MEI: Calon N.49 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei mengecam tindakan pihak yang menyebarkan mesej palsu dengan menggunakan talian peribadi beliau.

Shuhaimi berkata, mesej berkenaan berbunyi bahawa kononnya penyokong hadir ke program Jelajah Harapan Rakyat di Taman Sri Andalas berlangsung semalam akan disediakan makan, minum dan elaun kehadiran (RM100).

“Mesej itu ditularkan kepada pengundi dalam DUN Sungai Kandis dan DUN Kota Raja malah ada juga tulis mereka yang hadir akan diberikan elaun RM100; RM1,000 dan US 100 dolar.

“Perbuatan berkenaan sangat tidak bertanggungjawab, dalam situasi sekarang ini kita sepatutnya meraikan demokrasi bukannya menggunakan saluran penipuan seperti itu sekali gus memberi imej tidak baik kepada musuh politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Sidang Media di Bilik Gerakan Utama DUN Sungai Kandis, di sini, hari ini.

Selain itu, Shuhaimi menegaskan kepada semua supaya bertanding atas semangat demokrasi, ikut peraturan bukan dengan menyebarkan perkara yang tidak sahih.

“Disebabkan mesej tular berkenaan ramai yang telefon dan hantar mesej kepada saya, ada yang maki, ada gembira namun ramai juga yang kata kami boleh datang walaupun tiada bayaran.

“Hal ini menimbulkan serangan kembali kepada mereka yang cuba memanipulasikan mesej berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, Shuhaimi berkata, beliau akan mengambil tindakan tegas dan menyeru pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membuat siasatan terperinci.

Justeru, Shuhaimi yang juga selaku Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Selangor menegaskan kepada pihak media untuk memainkan peranan dalam menyampaikan kebenaran kerana soal fitnah penipuan itu sama sekali tidak boleh diterima.

“Kita bekerja berasaskan fakta yang sahih dan bukan bergantung kepada spekulasi atau tawaran kewangan yang konon ditawarkan PAKATAN.

“PAKATAN bertanding tanpa memberi apa-apa wang kepada pengundi walhal pengundi sendiri bijak menentukan mana benar mana tidak,” katanya.

Sekali lagi, Shuhaimi menegaskan kepada mana-mana pihak supaya hentikan perbuatan tidak bermoral itu dan tindakan lebih ketat akan dilakukan pada masa akan datang sekiranya berlaku lagi hal sedemikian.

Terdahulu, Jelajah Harapan Rakyat di Taman Sri Andalas berlangsung dengan penuh meriah dihadiri lebih 10,000 rakyat semalam.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, calon KEADILAN DUN Sungai Kandis (N49), Shuhaimi Shafiei dan Presiden Amanah yang juga calon Parlimen Kota Raja (P111) Mohamad Sabu.

Turut hadir calon KEADILAN DUN Sentosa (N48), Dr G Gunaraj dan calon DUN Kota Kemuning (N50), V Ganabatirau.

=EZY=


Pengarang :