NASIONAL

KEADILAN tembusi kubu kuat lawan, tanda peralihan kuasa

OLEH HAFIZAN TAIB

SEREMBAN, 8 MEI: Kemasukan sekumpulan ahli Umno dan PAS ke dalam KEADILAN di Taman Paroi Jaya, memberi isyarat terhadap peralihan kuasa di negeri itu kepada Pakatan Harapan (PAKATAN).

Pengerusi KEADILAN Negeri, Aminuddin Harun berkata, sokongan dinyatakan membuktikan gelombang perubahan rakyat kawasan berkenaan yang sebelumnya dikenali sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN).

“Sokongan dengan kemasukan ahli baharu ini menunjukkan kita mampu bertapak di sini yang mana sebelumnya ia tidak berlaku.

“Ia perubahan baik dan permulaan untuk kita mengambilalih Negeri Sembilan dalam pilihan raya umum (PRU) ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas program Jelajah KEADILAN Harapan Malaysia di sini, malam tadi.

Dalam program itu, seorang penduduk mewakili 256 ahli baharu lain menyerahkan borang keahlian KEADILAN kepada Timbalan Presiden parti, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengulas lanjut, katanya, kehadiran ramai pada majlis itu juga di luar jangkaan kerana beberapa program diadakan sebelumnya kurang mendapat sambutan.

“Perubahan pengundi dapat dirasai dengan kehadiran bertambah ramai dalam program dijalankan dengan malam ini (tadi) adalah yang teramai dan ia petanda jelas ditunjukkan rakyat,” katanya.

Berdasarkan perkembangan semasa, Aminuddin turut optimis mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat dalam PRU14.

“Dengan pihak lawan sendiri dikatakan goyah maka kita yakin untuk mempertahankannya buat kali ketiga,” katanya mendakwa jentera BN kurang yakin memenangi DUN berkenaan.

Aminuddin akan ditentang personaliti keagamaan, Syamsul Amri Ismail atau Syamsul Debat (BN) dan Rahim Yusof (PAS) pada PRU kali ini.


Pengarang :