BERITA UTAMA SELANGOR

Kedudukan Mohamed Azmin ditentukan esok

SHAH ALAM 20 MEI: Kedudukan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor diputuskan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, secara rasmi esok.

Kenyataan media itu bakal dikeluarkan Istana Selangor pada jam 9 pagi.

Mohamed Azmin berkata, baginda menitahkan demikian esok, namun beliau enggan mengulas kedudukannya sebagai Dato’ Menteri Besar ketika ini.

“Alhamdulilah, pertemuan saya dengan Sultan Selangor berjalan lancar dan baginda amat gembira dengan penjelasan yang diberikan.

“Dalam mesyuarat tadi, selain isu Menteri Besar, isu berkaitan negeri Selangor turut dibincangkan. Baginda akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi pihak istana pada pagi esok,” katanya ketika ditemui ketika di perkarangan Istana Kayangan di sini, hari ini.

Beliau meninggalkan istana dengan menaiki kenderaan rasmi, jam 1.48 petang.

Pertemuan hampir dua jam itu difahamkan bagi membincangkan dengan baginda mengenai jawatan Kabinetnya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mengumumkan nama 15 Menteri Kabinet termasuk menamakan Ahli Parlimen Gombak itu sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Istiadat angkat sumpah jawatan untuk Menteri Persekutuan dijadualkan berlangsung di Istana Negara, pagi esok.

=EZY=


Pengarang :