Selangorkini
SUKANKINI

Kuantan FA dan Perlis FA perlu jelaskan tunggakan gaji pemain

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 MEI: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminta Persatuan Bolasepak Daerah Kuantan FA dan Persatuan Bolasepak Perlis (Perlis FA) untuk membayar tuntutan gaji yang dikemukakan pemian mereka dalam tempoh 30 hari.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, ACP Md Dali Wahid berkata, keputusan dicapai selepas mesyuarat kali kelima Jawatankuasa Status FAM bagi penggal 2017-2021. pada 14 Mei lalu.

“Tuntutan 23 pengadu diterima sepenuhnya kecuali tuntutan Rancho Da Silva Andre Francisco yang diterima sebahagiannya dan Kuantan FA dikehendaki membayar pampasan baki kontrak seperti jumlah dinyatakan di bawah (tertakluk kepada potongan wajib pendapatan) dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan ini.

“Tuntutan 20 pengadu diterima sepenuhnya kecuali tuntutan-tuntutan Mohd Riduwan Maon dan Muhammad Alif Jamaluddin yang diterima sebahagiannya dan Perlis FA dikehendaki membayar pampasan baki kontrak seperti jumlah dinyatakan di bawah (tertakluk kepada potongan wajib pendapatan) dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan ini,” katanya.

Menurutnya, jika Perlis FA dan Kuantan FA gagal membayar jumlah dinyatakan dalam tempoh yang ditetapkan, perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi.

Dalam perkembangan sama, Kelab Bolasepak Petaling Jaya Rangers dikehendaki membayar pampasan baki kontrak RM120,000 dalam masa tiga puluh hari kepada pemain Abdullah Yusoff.

Jika Kelab Bolasepak Petaling Jaya Rangers gagal membayar jumlah dinyatakan dalam tempoh ditetapkan.

“Perkara ini juga akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM, untuk pertimbangan dan keputusan rasmi,”katanya.


Pengarang :