SELANGOR

Penjawat awam jangan takut undi PAKATAN

OLEH AFIX REDZUAN

KELANA JAYA, 4 MEI: Penjawat awam dinasihatkan supaya tidak takut untuk mengundi Pakatan Harapan (PAKATAN), pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Calon N32 Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, tidak menjadi kesalahan disiplin jika mengundi PAKATAN kerana beliau sendiri tidak pernah mengundi Barisan Nasional (BN) sepanjang 30 tahun berkhidmat di sebuah pusat pengajian tinggi, satu ketika dahulu.

“Jangan risau pegawai kerajaan untuk mengundi. Saya pernah bekerja dengan kerajaan selama 30 tahun, tidak pernah sekali pun saya mengundi BN.

“Ada (calon) pembangkang yang saya undi hilang wang pertaruhan tetapi tidak mengapa janji saya puas hati,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ceramah Kelompok N32 Seri Setia: Bicara Santai Ekonomi dan Undang-Undang, di SS7 Kelana Jaya.

Hadir sama, calon P.105 Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Peguam Muda, Syahredzan Johan.

Katanya, beliau pernah ditukarkan ke Sarawak selepas ditahan selama dua minggu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1999 selama enam tahun.

Dr Shaharuddin berkata, perihal undi tidak boleh dibawa ke mahkamah, sebaliknya hanya tindakan pertukaran lokasi bertugas sahaja akan dikenakan, malah ia terpaksa ditanggung Kerajaan menerusi pemberian pelbagai elaun.


Pengarang :