SELANGOR

RM2.062 juta jayakan moreh di Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 MEI: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memperuntukkan RM2.062 juta untuk sumbangan moreh kepada masjid, surau kebenaran solat Jumaat dan surau biasa di Selangor.

Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim berkata, sumbangan itu bagi kemudahan pegawai dan anggota jawatankuasa masjid dan surau menggerakkan aktiviti pengimarahan rumah ibadah di sepanjang Ramadan ini.

“Keprihatinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Kerajaan Negeri turut terserlah dalam pembentangan Belanjawan 2018 apabila meluluskan bayaran insentif kepada semua nazir masjid sebanyak RM500, pengerusi sirau (RM300) serta siak masjid dan surau (RM300).

“Implikasi bagi pembiayaan insentif ini secara keseluruhan adalah berjumlah kira-kira RM1.63 juta setahun,” katanya dalam Program Menyemarak Ramadan Bersama Kepimpinan Masjid dan Surau Selangor 2018 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz (MSSAA) di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha menyemarakkan Ramadan tahun ini semakin bertambah apabila Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersetuju menyalurkan sumbangan zakat RM2 juta bagi membiayai lantikan 1,000 imam hafiz Ramadan yang akan ditempatkan untuk mengimamkan solat sunat tarawih di 1,000 surau terpilih di Selangor.

“Bahagian Pengurusan Masjid JAIS dengan kerjasama MSSAA telah mengadakan Kursus Profesionalisme Imam Hafiz Ramadan, semalam,” katanya.

=EZY=


Pengarang :