NASIONAL

Wan Azizah: Task force khas laksana agenda wanita, kanak-kanak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 22 MEI: Jawatankuasa khas akan ditubuhkan sebagai ‘task force’ menyeluruh bagi meningkatkan agenda pembangunan kebajikan wanita dan kanak-kanak di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pasukan khas itu ditubuhkan juga bagi merealisasikan manifesto Kerajaan Pakatan Harapan dalam tempoh 100 hari pentadbirannya.

“Pasukan petugas ini akan memberikan penumpuan khas terhadap inisiatif keusahawan sosial, pembangunan wanita dan inisiatif projek HARAPAN.

“Keutamaan juga diberikan bagi mengatasi masalah pertumbuhan terbantut kanak-kanak seperti dilaporkan dalam UNICEF, di Parlimen sebelum ini.

“Kita mengambil kira bahawa kajian ini penting kerana masalah ini dilihat sebagai isu kemiskinan terutamanya kanak-kanak di pinggir bandar.

“Tidak dilupakan kebajikan golongan warga emas dan janji kami untuk melaksanakan caruman KWSP kepada golongan suri rumah,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pagi ini.

Wan Azizah berkata, cadangan penubuhan task force khas itu sudah dimuktamadkan pada pertemuan khas bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Perkara ini sudah diketengahkan dan telah diberi penumpuan oleh Perdana Menteri. Ia dianggap sangat bermakna dan mempunyai struktur yang baik,” katanya.

Wan Azizah secara rasmi memulakan tugas di hari pertama sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, pagi ini.

Ditanya pemberita bagaimana pembahagian masa baginya mengurus kedua-dua kementerian penting itu, Wan Azizah berkata, pengurusan masa perlu diatur bagi memastikan peranan kedua-dua kementerian berfungsi dengan baik.

“Beri saya masa, saya akan semak semua. Mana boleh semua nak buat dalam masa sehari,” selorohnya.

=EZY=


Pengarang :