ALAM SEKITAR & CUACAPELANCONGANSELANGOR

Jom jejaki sejarah Kesultanan Selangor di Muzium Sejarah Kuala Selangor

OLEH SHEEDA FATHIL

RENCANA 18 JUN: Tidak lengkap sekiranya anda berkunjung ke Kuala Selangor jika tidak melawat Muzium Sejarah yang terletak di puncak Bukit Melawati.

Muzium yang dahulunya merupakan kediaman rasmi bagi pegawai daerah Kuala Selangor sekitar 1960 kini diubah suai pada 2006 untuk dijadikan sebagai muzium bersejarah kesultanan Selangor.

Di muzium itu tersimpan sejarah mengenai pembukaan Kota Melawati yang merupakan pusat pentadbiran awal Selangor semenjak ia diasaskan oleh Raja Lumu, Sultan Sallehudin sekitar 1766.

Kota Melawati yang kini sudah berusia lebih 200 tahun itu merupakan mercu tanda bagi perkembangan awal institusi Kesultanan Selangor sehingga terjadinya pemindahan pusat pentadbiran ke Bukit Jugra, Kuala Langat ketika pemerintahan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor keempat, Sultan Abdul Samad Tengku Abdullah.

Menariknya, muzium itu mempunyai segala maklumat sejarah penubuhan Selangor disusun secara kronologi melalui pameran yang dibahagikan kepada tujuh seksyen.

Antara perkara menarik pengunjung boleh mengetahui sejarah nama Selangor, peristiwa penaklukan Kota Melawati oleh Belanda dan serangan balas Sultan Ibrahim yang dapat menakluk kembali Kota Melawati dalam masa sehari sahaja.

Bagaimanapun, ia tidak hanya tertumpu pada pameran muzium sahaja, pengunjung turut berpeluang melihat sendiri kesan artifak peninggalan sejarah yang terdapat di sekitar kawasan puncak Bukit Melawati yang menandakan wujudnya kota pentadbiran dan pertahanan negeri suatu masa dahulu.

Batu hampar merupakan antara peninggalan sejarah yang masih terpelihara dan terletak di tengah kawasan lapang dipercayai sebagai halaman istana.

Untuk makluman, batu hampar pernah digunakan sebagai tempat menjatuhkan hukuman kepada pesalah dan tempat Sultan melepaskan waktu berehat.

Selain itu, di puncak bukit tersebut terdapatnya benteng kubu pertahanan dibina ketika Kota Melawati diserang Belanda dan tangga seratus yang dipercayai digunakan oleh pedagang untuk ke istana Sultan selepas menambat perahu mereka di Pengkalan Batu Buruk.

Manakala, terdapat juga perigi beracun yang dikatakan pernah digunakan untuk menghukum penderhaka Sultan dengan merendamkannya ke dalam perigi sehingga ke paras dagu dan di dalamnya terdapat ramuan beberapa jenis getah dan miang rebung.

Pada masa sama, pengunjung juga boleh melawat ke makam Sultan Selangor bermula daripada Sultan Sallehuddin hingga Sultan Muhammad Shah.

Menjadi satu kerugian jika anda tidak menjejakkan kaki ke Bukit Melawati kerana banyak sejarah tersingkap kita akan ketahui apabila menjejakkan kaki ke sini.

Muzium Sejarah daerah Kuala Selangor sedia menanti kehadiran anda setiap hari bermula jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang.

Menariknya, tiada bayaran masuk akan dikenakan kepada pengunjung manakala permohonan bagi lawatan berpandu boleh dihantar kepada pihak pentadbiran muzium secara email ke [email protected] atau hubungi 0332896115.


Pengarang :