SUKANKINI

‘Saya sudah kaji penalti Messi’

MOSCOW 17 JUN: Penjaga gol Iceland Hannes Halldorsson mendedahkan, dia telah membuat kajian terperinci dan persediaan mental berhubung kejayaannya menafikan tendangan penalti bintang Barcelona Lionel Messi untuk keputusan seri 1-1 dengan Argentina hari ini.

Halldorsson yang dianggap wira apabila menepis sepakan penalti tersebut pada minit ke-63 memberitahu, dia hanya mengagak bahawa tonggak Argentina itu bakal menendang bola ke sebelah kanannya.

Pemain terbaik perlawanan itu menyifatkan keputusan 1-1 itu sebagai impian menjadi kenyataan, setelah kajian terhadap sepakan penalti daripada pemain terbaik dunia lima kali tersebut membuahkan hasil.

“Saya ada membuat sedikit kajian kerana saya tahu situasi sebegini boleh berlaku. Ia agak mustahil tetapi ternyata ia berhasil.

“Saya sudah tengok banyak sepakan penalti daripada Messi dan saya mencongak tendangannya berdasarkan beberapa sepakan penalti terakhirnya.

“Saya juga cuba membaca fikirannya dan sudah pasti dia akan memikirkan tentang saya. Saya sangat gembira kerana meraih perasaan sebegini,” kata Halldorsson selepas tamat perlawanan di Stadium Spartak.

Dalam masa sama, Halldorsson turut menganggap keputusan tersebut seakan satu kemenangan, selepas Iceland membuat kemunculan sulung di Piala Dunia, di mana negara itu sebelum ini menjadi bualan hangat setelah menyingkirkan England untuk mara ke suku akhir Euro 2016.

SUMBER: AFP

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup


Pengarang :