NASIONAL

Tun M pelawa Jepun melabur di Malaysia

SHAH ALAM, 12 JUN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempelawa Jepun untuk menjadi rakan kongsi Malaysia dalam membangunkan negara Asia Tenggara.

Beliau menyampaikan pelawaan itu dalam satu pertemuan dengan pemimpin organisasi utama ekonomi Jepun, di sini, pada Selasa, lapor BERNAMA.

Pertubuhan itu merangkumi Japan’s Keidanren, Japan Chamber of Commerce and Industry, Japan-Malaysia Economic Association, Japan Foreign Trade Council Inc dan Keizai Doyukai.

Antara pemimpin kanan yang hadir adalah peneraju syarikat ternama Jepun seperti Panasonic Corporation, Japan Airlines, Mitsubishi Corp, Hitachi Ltd, Sumitomo Corp, Mitsui & Co, Marubeni Corp dan Honda Motors Co Ltd.

Beliau turut memberi jaminan kerajaan baharu di bawah pimpinannya adalah mesra perniagaan dan mengalukan pelaburan langsung asing (FDI) serta mengurangkan prosedur birokrasi tidak perlu.

“Kami tidak akan mempunyai terlalu banyak halangan atau prosedur birokrasi yang akan menghalang pelabur asing,” katanya.

Beliau berkata, pelabur Jepun adalah antara yang pertama membangunkan operasi perniagaan, di Malaysia merangkumi 1,400 kilang, di seluruh negara.

“Kami berharap akan ada lebih lagi. Setiap kilang yang dibangunkan bermakna akan memberikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Satu daripada masalah dihadapi ialah pengangguran dan untuk itu, kita memerlukan lebih banyak pelaburan dari luar negara,” katanya.

 

 


Pengarang :